fbpx
Antara ikan yang didaratkan ketika trip Pulau Ketam.

Trip pancing melepas ‘gian’ di Pulau Ketam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Idea untuk ke lokasi ini datang daripada Ahmad Ridhuan. Pencarian tekong pun bermula, daripada bertanyakan pada kawan-kawan sepemancingan se­­hinggalah ke media sosial.

Maka berkenalanlah kami dengan seorang tekong bernama Abang Lan dari Klang. Setelah persetujuan tarikh dan harga trip dicapai, kami mula mempersiapkan peralatan yang diperlukan.

Kami bergerak dari tempat berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya menuju ke lokasi yang diberikan oleh Abang Lan iaitu satu jeti di Bandar Sultan Suleiman, Klang. Perjalanan mengambil masa sejam dan kami sempat bersarapan di jeti sebelum menaiki bot pada pukul 8 pagi.

Abang Lan sudah siap menunggu di jeti dengan bekalan umpan udang hidup sebanyak 150 ekor, ikan belanak dan sotong kurita.

Kami juga ada membawa sedikit udang mati sebagai umpan tambahan untuk pancing ikan gelama.

Trip kali ini disertai oleh rakan-­rakan dalam trip mencandat sotong di Terengganu pada tahun lepas.

Bot sepanjang 30 kaki menyusur membawa tujuh orang pemancing termasuk tekong, sebelum memulakan perjalanan menuju ke Pulau Ketam. Keadaan muara yang yang masih surut dengan purata kedalam air 1.0 – 1.5 meter pada alat fishfinder menyebabkan Abang Lan sangat berhati-hati mengemudi bot, biarpun sudah arif dengan alur laluan keluar.

Tukun Che Minah
Perjalanan ke Pulau Ketam mengambil masa lebih kurang 45 minit kerana terpaksa melalui laluan yang agak jauh disebabkan air belum pasang sepenuhnya. Abang Lan berhenti di destinasi pertama iaitu Tukun Che Minah.

Menurutnya, lubuk ini merupakan tukun buatan yang dibina oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan terletak tidak begitu jauh dengan kawasan sangkar ternakan ikan Pulau Ketam.

Pembinaan tukun ini dikatakan bermula pada sekitar tahun 2002 dan dibina daripada tiga bongkah kuboid simen. Kelihatan juga bebe­rapa bot pemancing lain yang sedang menguji nasib menduga penghuni dasar di tempat sama.

Setelah sauh dilabuhkan dan tekong memberikan isyarat, masing-masing mula mengikat perambut dan memasang umpan.

Tali perambut berkekuatan antara 40 hingga 50 paun (lb) dipadankan dengan mata kail bersaiz 3/0. Kami diarahkan menggunakan dua joran sahaja bagi mengelakkan rabut dan terbelit tali sesama sendiri.

Batu ladung bersaiz 4 dan 5 digunakan memandangkan arus agak laju. Satu joran dicangkuk umpan kaki sotong kurita dipacakkan di pemegang joran di birai bot, manakala satu joran lagi yang dipasang udang hidup dipegang.

Setelah melabuhkan umpan ke dasar, mata masing-masing memberi tumpuan pada joran untuk menyentapnya sekiranya ada henjutan daripada penghuni dasar.

Tidak sampai lima minit menunggu, saya mendapat ragutan pertama. Seekor ikan tetanda berjaya didaratkan disusuli oleh Zul dengan ikan tebal pipi pula.

Keadaan menjadi gamat apabila ma­­sing-masing menuai hasil. Nasron, pertama kali merasai tarikan ikan tetanda yang makan umpan udang hidupnya.

“Sedap juga tarik ikan ini, biasa dapat rasa tarikan ikan kolam bayar sahaja,” ujar Nasron.

Hilmi yang gigih mencuba nasib bermain apollo saiz 12 dan dicangkuk umpan udang mati dipotong kecil, berjaya menaikkan beberapa ekor ikan gelama sebesar tapak tangan.

Awan hitam mula bergerak menuju ke arah kami dan arus pula menjadi semakin laju kerana naik pasang. Abang Lan menga­rahkan kami semua untuk mengarau pancing.

Setelah sauh dinaikkan, kami bergerak ke lokasi seterusnya.

Titis-titis hujan mula turun dan kami sudah bersedia memakai baju hujan segera (instant) yang siap dibeli awal-awal lagi. Kami terus menuju ke Pulau Ketam.

Tekong memilih untuk menduga satu lokasi berhampiran dengan sangkar ikan. Namun, arus yang laju dan hujan masih lebat menjadikan umpan kami tidak mendapat sambutan.

Hanya beberapa ekor ikan duri dan mayong sahaja berjaya kami dapat, berselang-seli dengan ikan pengacau buntal.

Ketika bot keluar dari muara, kelihatan masing-masing ceria dan bersemangat kerana dapat melepaskan gian memancing.

Senangin
Memandangkan hujan mulai reda dan arus agak laju, kami hanya memancing di sekitar kawasan tepi muara. Ikan tanda, gelama, gerut-gerut, duri, mayong dan bebulus banyak yang menghiburkan serta menjadi tambahan hasil.

Tidak lama kemudian, suasana menjadi senyap, tekong mahu berpindah ke lokasi lain. Baru sahaja enjin bot dihidupkan, joran kepunyaan Sulaiman disentap kuat.

Seekor ikan daun menjadi habuannya.

Ingatkan itu ikan terakhir di lubuk tersebut, ternyata telahan kami tersasar, kekili Ahmad Ridhuan pula ‘menjerit’ nyaring. Semakin dipam joran, semakin kuat ikan menekan.

Selepas beberapa ketika ikan senangin tersebut berjaya dilantaikan di bot.

Pulang
Jam menunjukkan pukul 5 petang, lokasi-lokasi lain yang kami singgah hanya disambut oleh spesies ikan-ikan pengacau.

Kami mengambil keputusan untuk pulang kerana sambutan daripada penghuni dasar sudah berkurangan.

Dalam perjalanan ke jeti, kami sempat singgah di satu lokasi untuk bermain apollo dan berjaya menaikkan beberapa ikan cencaru sebagai hasil tangkapan terakhir.

Kesimpulannya, pancingan di perairan sekitar Pulau Ketam lebih kepada pan­cingan dasar secara relaks sahaja.

Namun, sekiranya kena dengan cuaca, pemilihan umpan, jadual pergerakan air yang betul dan tekong gigih bertukar-tukar lokasi, tidak mustahil hasil yang memuaskan dapat diperolehi.

Bagi warga kota yang sentiasa sibuk tetapi inginkan satu destinasi memancing untuk melepaskan gian, maka inilah tempat terbaik untuk anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN