fbpx
AB RAHAMAN (tiga dari kanan) menunjukkan paket berisi dadah bernilai RM3.04 juta yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

Remaja jadi ‘transporter’ bawa dadah RM3.04 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun antara lapan individu yang ditahan selepas disyaki menjadi ‘transporter’ dalam sindiket pengedaran dadah yang tumpas dengan rampasan 60.78 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM3.04 juta di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 16 hingga 78 tahun ditahan dalam operasi pada pukul 9 malam, 18 Julai lalu.

“Serbuan pertama di kawasan parkir berhadapan sebuah hotel di Johor Bahru membawa kepada penahanan lima suspek termasuk seorang warga asing.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Bezza menemukan 50 paket plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 60.78kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, serbuan susulan di hotel sama membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan, namun tiada barangan menyalahi undang-undang ditemukan.

Menurut beliau, siasatan mendapati dua suspek berperanan sebagai ‘transporter’, seorang sebagai ‘runner’, tiga lagi merupakan orang kanan kepada ketua sindiket, manakala seorang dikenal pasti sebagai ketua sindiket dan seorang lagi sebagai perancang utama.

Tambahnya, sindiket yang aktif sejak awal Mei lalu menggunakan kenderaan sebagai lokasi penyimpanan sementara dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan, manakala Perodua Bezza yang digunakan didapati milik datuk kepada remaja terbabit.

“Hasil ujian air kencing mendapati tiga suspek positif methamphetamine, manakala empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah,”katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari hingga 25 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi sama, polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM100,162 membabitkan sebuah Toyota Camry, Proton Saga dan barang kemas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan dianggarkan RM3.14 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN