PETALING JAYA – Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak meletakkan Bumi Kenyalang pada landasan semakin kukuh untuk muncul sebagai peneraju pertumbuhan, inovasi serta pembangunan inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap usaha yang digerakkan bertujuan mengangkat martabat rakyat, memperkasa ekonomi negeri dan menjamin kesejahteraan yang berkekalan.
“Transformasi kemajuan yang sedang dilakar ini adalah hasil usaha bersama. Dengan semangat Sarawak Maju Segulai Sejalai, kita akan terus melangkah sederap memperkukuh perpaduan, merancakkan pembangunan dan membina masa depan yang lebih makmur demi Sarawak dan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut berharap Bumi Kenyalang terus melakar kejayaan, menyemarakkan kemakmuran dan menjadi kebanggaan negara demi masa depan lebih gemilang buat seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat negeri berkenaan.
Hari Sarawak disambut pada 22 Julai setiap tahun bagi memperingati detik Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 selepas berakhirnya pentadbiran kolonial British.
Tarikh bersejarah itu turut menyaksikan pelantikan mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak, sebelum negeri berkenaan bersama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Sambutan Hari Sarawak kemudiannya diumumkan sebagai cuti umum negeri oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 2016. – KOSMO! ONLINE














