PETALING JAYA – Penyanyi Ziana Zain akan memberikan sokongan penuh terhadap anak, Siti Nur Kaseh sekiranya dia mahu mengikut jejak langkahnya menceburkan diri dalam dunia hiburan.
Meski begitu, Ziana atau nama penuhnya Siti Roziana Zain, 58, berkata, dia akan lebih cerewet dan campur tangan dalam hal berkaitan pengurusan.
“Kalau ikut hati, memang tidak mahu sebab cabaran sangat besar terutama psda zaman sekarang.
“Namun sekiranya terjadi jua, saya akan sediakan berbakul-bakul dan berguni-guni nasihat untuknya.
“Saya akan pilih dan menilai sendiri siapa yang akan menguruskannya, ‘scan’ terlebih dahulu,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Katanya, dia akan mempraktikkan semua perkara yang arwah bapanya, Pak Zain lakukan kepadanya ketika pada awal pembabitannya dalam dunia seni.
“Saya akan buat perkara sama dilakukan arwah bapa saya buat dulu.
“Maknanya jangan main-main, kalau setakat nak kejar glamor, tak payah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia berkata Kaseh atau anak-anaknya yang lain setakat ini masih belum meluahkan hasrat untuk bergelar artis.
“Setakat ini tiada yang menunjukkan minat tetapi penyanyi bilik air itu ada.
“Saya lebih tekankan untuk mereka lakukan perkara diminati. Saya pesan agar mereka lakukan sesuatu yang disukai dan memberi peluang pekerjaan.
“Bila minat bidang pekerjaan yang kita lakukan, pasti akan lebih semangat dan itu yang saya sebagai ibu inginkan,” jelasnya.
Terdahulu, Kaseh pernah muncul sebagai penampilan istimewa pada Konsert Sembilu The Reunion pada Februari lalu.
Rata-rata menyifatkan Kaseh mewarisi minat dimiliki Ziana. – KOSMO! ONLINE














