PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menegaskan perkhidmatan Pay Day Now bukan merupakan dasar, inisiatif atau program Kerajaan Malaysia mahupun kementerian itu.
Kuskop dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Pay Day Now ialah inisiatif komersial yang dibangunkan sepenuhnya oleh pihak swasta iaitu Ramsol Group dengan kerjasama AmBank.
Menurut kementerian itu, kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong pada majlis pelancaran perkhidmatan tersebut semalam hanyalah sebagai saksi kepada pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ramsol Group dan AmBank.
“Pay Day Now merupakan satu inisiatif komersial yang dibangunkan sepenuhnya oleh Ramsol Group dengan kerjasama AmBank. Ia bukan merupakan dasar, inisiatif atau program Kerajaan Malaysia mahupun Kuskop,” katanya.
Kuskop menjelaskan, perkhidmatan itu ditawarkan secara sukarela dan hanya melibatkan majikan yang memilih untuk menyertainya serta pekerja yang layak mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan.
Jelasnya, kemudahan tersebut bukan diwajibkan kepada semua majikan atau pekerja di Malaysia.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan, kelayakan, syarat penyertaan atau ciri-ciri perkhidmatan Pay Day Now boleh menghubungi Ramsol Group atau AmBank,” katanya. – KOSMO! ONLINE














