fbpx
Etnik Rohingya yang mendiami penempatan di Jalan Kebun, Shah Alam baru-baru ini.

Lagi penempatan Rohingya didedah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dianggarkan 200 etnik Rohingya mendiami kira-kira 60 buah rumah di dua lot tanah milik tuan tanah berbeza di Jalan Kebun di sini, sejak lima tahun lalu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai isu ke­selamatan di kawasan itu.

Ketua Kampung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Kebun, Tukiman Maeran berkata, sekali pun telah lama tinggal di kawasan ber­kenaan, pihaknya masih belum mendapat sebarang laporan berkaitan kegiatan jenayah melibatkan komuniti tersebut.

Katanya, pemantauan sentiasa dilakukan bersama polis bagi memastikan keselamatan serta keharmonian penduduk setempat.

“Memang ada penempatan Rohingya di kampung ini. Setakat pemantauan JPKK, keadaan masih terkawal dan kita tidak pernah dengar berlaku pergaduhan atau masalah besar.

“Cuma isu sampah, saya perlu berjumpa dengan tuan tanah untuk berbincang kerana minggu lalu kita sudah lakukan pembersihan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata, kebanyakan etnik Rohingya yang menetap di kawasan itu dipercayai memperoleh pendapatan melalui aktiviti mengumpul barangan kitar semula termasuk sampah dan besi buruk di sekitar kampung.

Katanya, dianggarkan terdapat 200 etnik Rohingya di kawasan penempatan membabitkan dua lot tanah milik tuan tanah berbeza.

“Mereka mendiami 60 buah rumah termasuk rumah teres dua tingkat. Dalam kawasan itu bukan sahaja Rohingya, tetapi ada juga warga Bangladesh dan Indonesia.

“Berhubung jumlah sewa yang dikenakan, saya tidak pasti ­kerana ia melibatkan urusan antara penyewa dan tuan tanah,” katanya.

Mengulas isu tular yang mendakwa kewujudan penempatan itu memberi keuntungan kepada pihak tertentu, Tukiman menafikan dakwaan tersebut sambil menegaskan beliau tidak pernah terlibat dalam urusan penyewaan.

“Kalau ada yang mendakwa ketua kampung mengambil keuntungan, demi Allah saya tidak ke arah itu. Penempatan ini sudah lama wujud antara lima hingga enam tahun, bukan baru sekarang.

“Sebelum ini ada pihak cuba membina surau di kawasan itu, tetapi saya tidak benarkan ­kerana kemudahan surau sudah banyak di Jalan Kebun. Ada kira-kira 14 surau di sini dan mereka boleh menunaikan solat bersama masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, pihak JPKK juga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang penyewaan sekiranya penghuni terbabit memiliki dokumen sah.

“Kalau mereka tiada permit atau kad UNHCR, tindakan boleh diambil pihak berkuasa. Bagaimanapun, pemeriksaan imigresen bulan lalu mendapati tiada kesalahan dikesan.

“Apa yang boleh dilakukan adalah memantau keadaan dan memastikan mereka mematuhi peraturan,” katanya.

Terdahulu, isu penempatan Rohingya di Jalan Kebun menjadi perhatian selepas tular dakwaan mengenai kewujudan rumah teres yang dihuni komuniti tersebut selain dikaitkan dengan masalah pembuangan sampah haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN