fbpx
RiSMart Grocer menjadi platform berpotensi kepada usahawan bimbingan Risda menawarkan barangan mereka kepada pengguna.

Pelan strategik RisSMart 2030 sasar jualan RM30 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyasarkan nilai jualan produk usahawan bimbingannya sebanyak RM30 juta menjelang tahun 2030 melalui pelan strategik RisSMart 2030 yang diperkenalkan baru-baru ini.

Nilai unjuran itu mampu dicapai agensi tersebut melalui pembangunan ekosistem peruncitan dan pemasaran holistik, termasuk pemasaran 1,000 va­riasi produk (SKU) serta pembangunan 25 SKU jenama RisSMart.

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Risda dalam memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar, di samping menyokong agenda sekuriti makanan negara serta meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam ran­taian nilai industri agromakanan.

Mengambil kira cabaran ekonomi semasa termasuk pe­ningkatan kos sara hidup dan perubahan corak perbelanjaan pengguna, RisSMart Grocer dibangunkan sebagai model perniagaan yang fleksibel, berdaya tahan dan berorientasikan ke­perluan pasaran.

RisSMart Grocer dioperasikan oleh syarikat milik Risda iaitu Risda Agri Food Industries Sdn. Bhd. (RAFI) dan cawangan sulungnya telah dibuka di Urban Eats@Kwasa Damansara sebagai platform peruncitan moden yang memberi peluang yang lebih luas kepada usahawan bumiputera desa menawarkan produk ma­sing-masing terus kepada pelanggan.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 269 produk keluaran usahawan bimbingan Risda dipasarkan di RisSMart Grocer dengan melibatkan pelbagai kategori termasuk makanan segar, makanan sejuk beku dan barangan keperluan harian.

Syarikat mengunjurkan jumlah keluaran produk usahawan akan terus meningkat selaras dengan usaha berterusan Risda memperluaskan peluang pemasaran kepada lebih ramai usahawan desa.

Lebih menarik, RisSMart Grocer turut mengaplikasikan konsep farm-to-market yang ­menghubungkan pengeluar secara langsung dengan pengguna.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, ekosistem RisSMart terdiri daripada RisSMart24, RisSMart But­chery, RisSMart Grocer, RisSMart Pit Stop, pusat pengedaran dan pemprosesan.

“Ekosistem ini dibangunkan sebagai hab pemasaran produk desa, khususnya daripada komuniti pekebun kecil dan usahawan Risda. Melalui pembukaan RisSMart Grocer, ia akan memperluas operasi peruncitan serta menghubungkan usahawan secara langsung ke pasaran pengguna,” katanya pada majlis perasmian pasar raya tersebut baru-baru ini.

Ketika ini, RAFI, RAFI mengendalikan 17 outlet RisSMart24 dan tiga outlet RisSMart Butchery. Perkembangan rangkaian ini memperluas akses pengguna kepada produk keluaran usahawan dan komuniti luar bandar di lokasi-lokasi strategik serta lebih mudah dikunjungi.

Sementara itu, Risda dalam satu kenyataan berasingan, memaklumkan tentang penganjuran RisSMart 5KM Fun Run yang akan berlangsung pada hari Ahad, 30 Ogos 2026 di RisSMart Grocer, Kwasa Damansara.

Semua lapisan masyarakat, sama ada pelari berpengalaman, penggemar aktiviti kecergasan mahupun mereka yang ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan terbuka untuk menyertainya.

Acara larian secara santai itu akan memberi peluang kepada peserta menikmati pengalaman beriadah dalam suasana penuh semangat patriotik sempena hujung minggu Merdeka.

Bagi penyertaan standard dengan yuran RM35, setiap peserta akan menerima baju larian eksklusif, pingat penamat edisi khas, serta beg (drawstring bag) rasmi RisSMart sebagai kenangan menyertai acara ini.

Bagaimanapun, bagi mereka yang inginkan pengalaman lebih istimewa, ka­tegori 5KM Team RisSMart ditawarkan pada harga RM120.

Kategori premium ini terhad kepada 50 penyertaan sahaja, menjadikannya satu peluang eksklusif buat peminat RisSMart. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN