fbpx
Gambar yang dimuat naik Nur Huda menunjukkan anaknya, Qais ketika bertemu Anwar, semalam.

‘Anak sempat tanya, PM sokong Argentina ke Sepanyol?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak teruja apabila berpeluang bersalaman dan berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Nilai, Negeri Sembilan semalam.

Ibunya, Nur Huda Faujan berkata, anaknya yang dikenali sebagai Qais terus menceritakan pengalaman tersebut sebaik sahaja masuk ke dalam kereta selepas selesai mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Menurutnya, Qais turut menunjukkan wang RM10 yang diberikan oleh Anwar kepada kanak-kanak di masjid berkenaan sebagai sedekah sempena hari Jumaat.

“‘Mama, saya jumpa PMX tadi dekat masjid. Betul mama, dia bagi saya RM10,’ terus dia tunjuk duit RM10.

“Saya kemudian membuka Facebook PMX untuk memastikan kebenarannya. Betul lah, beliau datang ke Nilai untuk ke IPG Kampus Pendidikan Teknik sebelum menunaikan solat Jumaat di situ,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Nur Huda berkata, anaknya turut teruja apabila mendakwa terdapat pegawai Perdana Menteri yang mengambil gambar ketika pertemuan tersebut berlangsung.

Malah, Qais sempat bertanyakan kepada Anwar mengenai pasukan pilihannya antara Argentina dan Sepanyol.

“Dia cerita, ‘Saya salam dia (PM) dan tanya, Datuk Argentina ke Spain (Sepanyol)? Datuk jawab Spain.’

“Qais turut bertanya wang itu milik siapa sebelum pegawai berkenaan menjelaskan bahawa ia duit Perdana Menteri yang diberikan sebagai sedekah kepada kanak-kanak sempena hari Jumaat,” katanya.

Menurut Nur Huda, ketika ditanya mengapa begitu teruja mahu bersalaman dengan Anwar, Qais menjawab bahawa dia sering melihat orang ramai bersalaman apabila pemimpin hadir dalam program yang disiarkan di televisyen atau media sosial.

“Apabila saya kata dia berani, dia jawab, ‘Saya memang berani pun tanya-tanya, borak-borak.’ Teruja sungguh Qais dapat bertemu PMX,” katanya.

Nur Huda berkata, masjid tersebut terletak bersebelahan sekolah KAFA anaknya, malah terdapat beberapa kelas yang berkongsi bangunan dengan Masjid Dato’ Penghulu Menteri Sungei Ujong atau Masjid Kuarters KLIA.

Hantaran Nur Huda mendapat lebih 2,000 tanda suka, 132 komen dan 71 perkongsian.

Semalam, Anwar menghadiri sesi Temu Anwar Bersama Pelajar IPG Kampus Pendidikan Teknik, Nilai sebelum singgah menikmati makan tengah hari di Restoran Suhada dan bertemu masyarakat setempat.

Beliau kemudian menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Dato’ Penghulu Menteri Sungei Ujong di Nilai.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN