fbpx
TUNKU Mahkota Ismail bergambar dengan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. Foto IHSAN ROYAL PRESS OFFICE

Tiada bulan madu, Exco Johor terus bekerja – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu tidak mempunyai ruang untuk ‘berbulan madu’, sebaliknya perlu terus bekerja bagi menterjemahkan mandat besar yang diberikan rakyat.

Beliau berkata, pelantikan sebagai Exco bukan satu keistimewaan, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh komitmen demi memastikan kebajikan Bangsa Johor terus terbela.

“Mandat besar diberikan Bangsa Johor perlu diterjemahkan kepada kerja lebih kuat, penyampaian lebih cekap dan hasil yang dapat dirasai setiap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, keutamaan pentadbiran negeri selepas ini adalah memperkukuhkan pelaksanaan agenda Maju Johor 2030 secara lebih fokus dan berkesan bagi memastikan Johor terus muncul sebagai negeri maju, makmur dan sejahtera.

Menurutnya, barisan Exco yang dibentuk menggabungkan pemimpin berpengalaman serta beberapa muka baharu bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri agar lebih cekap, efektif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Dalam masa sama, beliau merafak sembah menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas perkenan melantik barisan Exco baharu bagi menerajui pentadbiran negeri.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail terhadap pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN