fbpx
Anggota penguat kuasa MBIP telah melakukan pemeriksaan ke atas premis Network School di Forest City, Iskandar Puteri.

Johor desak KDN putus segera status Network School

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan segera, jelas dan muktamad berhubung status individu terlibat serta operasi Network School di Forest City yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, segala perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, di peringkat negeri, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berdasarkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

“MBIP telah menjalankan pemeriksaan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis serta syarat-syarat papan iklan melibatkan operasi syarikat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu beroperasi di dua premis dengan satu daripadanya memiliki lesen pejabat urusan yang sah, manakala sebuah lagi didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh seorang warganegara tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, pemeriksaan turut mendapati syarikat terbabit melanggar syarat jenis perniagaan yang diluluskan apabila premis yang dilesenkan sebagai pejabat urusan digunakan sebagai ruang kelas.

Selain itu katanya, syarikat berkenaan turut didapati menjalankan promosi perniagaan tanpa mengemukakan permohonan secara terperinci kepada pihak berkuasa.

Susulan pelanggaran itu, MBIP mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Pada masa sama, Notis Lesen Iklan turut dikeluarkan di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat serta tidak selaras dengan kelulusan diberikan.

Onn Hafiz menegaskan Kerajaan Johor memandang serius isu tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau syarat ditetapkan.

Beliau berkata, MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek di bawah bidang kuasanya dan tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN