fbpx
Shukor (tengah) mewakili lebih 100 nelayan Kampung Dew menuntut pampasan susulan pencemaran Sungai Sepetang ketika ditemui di Jeti Kelip-Kelip, Taiping semalam.

‘Kami bukan minta pampasan melampau, cuma ganti rugi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Lebih 100 nelayan Kampung Dew di sini, terjejas selepas Sungai Sepetang tercemar dipercayai ekoran tumpahan sisa daripada kolam takungan sebuah kilang kelapa sawit yang pecah sejak dua minggu lalu.

Pengerusi Komuniti Perikanan (MyKP) Kampung Dew, Shukor Ishak berkata, kejadian itu menyebabkan air bertukar kehitaman, berbau dan menyebabkan lebih dua tan ikan mati sekali gus menjejaskan mata pencarian nelayan, industri pelancongan kelip-kelip dan aktiviti memancing udang galah.

“Kami menerima maklumat pada Ahad lalu. Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kolam takungan air sisa sebuah kilang kelapa sawit dipercayai pecah menyebabkan pati sisa berwarna hitam mengalir ke Sungai Sepetang,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew semalam.

Menurut Shukor, pihaknya segera memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemerhatian mendapati benteng kolam takungan tersebut sudah uzur dan tidak lagi selamat. Sekiranya tidak dinaik taraf atau diganti, kami bimbang kejadian sama akan berulang,” ujarnya.

Katanya, kira-kira 100 nelayan terkesan kerana tidak dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan dan udang.

“Sebelum ini nelayan mampu memperoleh RM200 sehari, sekarang kena bergerak lebih jauh ke kawasan muara untuk mencari hasil tangkapan yang semakin berkurangan.

“Kos operasi termasuk mi­nyak makin meningkat, sedang­kan hasil yang diperoleh tidak seberapa. Keadaan ini memberi tekanan kepada nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada sungai sebagai sumber penda­patan,” katanya.

Tambahnya, nelayan terpaksa menghentikan sementara ak­tiviti membawa pemancing udang galah kerana keadaan sungai yang masih terjejas.

“Kami tidak menuntut pampasan yang melampau, sebaliknya ganti rugi yang munasabah bagi menampung kehilangan pendapatan dan kos minyak sepanjang mereka tidak dapat bekerja,” katanya.

Jelasnya, pihaknya menggesa kerajaan negeri, JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua kolam takungan sisa kilang kelapa sawit bagi memastikan ia memenuhi piawaian ke­selamatan ditetapkan.

“Laporan sudah dibuat kepada JAS dan pihak jabatan memaklumkan siasatan sedang dijalankan, selain kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah,” ­katanya.

“Jabatan Perikanan juga sudah dimaklumkan bagi menilai kesan pencemaran terhadap sumber perikanan serta membantu nelayan yang kehilangan mata pencarian,” katanya.

Tambah Shukor, tempoh pemulihan Sungai Sepetang bergantung kepada keadaan cuaca kerana bahan yang mengalir keluar bukan sekadar air biasa, sebaliknya pati enapan pekat yang mendap di dasar sungai dikhua­tiri boleh memberi kesan terhadap hidupan akuatik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN