SHAH ALAM – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 4.84 tan minyak masak, Selasa lalu.
Tertuduh, Moo Teck Lim, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Datin Fatimah Zahari.
Mengikut pertuduhan, dia bersama empat lelaki warga Myanmar didakwa ada dalam kawalannya barang kawalan iaitu minyak masak berjumlah 4,845 kilogram (kg) dalam keadaan menimbulkan syak munasabah seterusnya melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan berurusan minyak masak secara borong tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Pinggir Subang, Seksyen U5 di sini, kira-kira pukul 3.30 petang, 14 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan dihukum denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Sallim Wahid menawarkan jaminan RM20,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat KPDN Putrajaya setiap bulan.
Teck Lim tidak diwakili peguam memohon pengurangan kerana perlu membeli ubat penyakit kencing manis dan darah tinggi dengan berpendapatan RM3,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan termasuk serahan pasport sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes termasuk kehadiran jurubahasa Myanmar bagi pertuduhan empat tertuduh lain ditetapkan pada 17 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE














