fbpx
Tiga kru warga Indonesia yang ditahan APMM bersama bot kargo kayu bakau di perairan Kuala Sepetang di Kuala Kurau kelmarin.

Bot kargo kayu bakau ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIT BUNTAR – Sebuah bot kargo kayu bakau ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Kuala Kurau di perairan Kuala Sepetang di sini kelmarin.

Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Hairil Othman berkata, bot bernombor pendaftaran ANE 3119 itu ditahan kira-kira pukul 2.50 petang pada kedudukan kira-kira 0.05 batu nautika ke barat Muara Kuala Sepetang.

Beliau berkata, bot kargo kayu bakau itu disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki melakukan kesalahan kerana gagal mempamerkan lesen bot dan polisi insurans seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Selain itu, pemeriksaan terhadap kru turut mendapati wujud kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, iaitu gagal mengemukakan permit kerja serta disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya.

Beliau berkata, seramai tiga kru warga Indonesia berusia antara 26 hingga 48 tahun berada di atas bot ketika pemeriksaan dijalankan.

Katanya, kesemua kru bersama bot berkenaan telah ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kuala Sepetang bagi melengkapkan proses siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN