NEW YORK – Langit Manhattan diliputi jerebu tebal, manakala kota raya Chicago menutup pantainya semalam apabila asap kebakaran hutan yang tidak terkawal di Kanada sampai ke Amerika Syarikat(AS), mendedahkan berjuta-juta penduduk kepada udara sangat tidak sihat.
Negeri-negeri AS dekat sempadan Kanada termasuk Minnesota, Wisconsin, Michigan dan Illinois terjejas teruk, manakala bahagian Timur Laut termasuk New York turut mencatatkan kemerosotan kualiti udara.
Petang semalam, laman web kualiti udara IQAir menyatakan, Chicago dan Detroit merupakan bandar paling tercemar dunia, dengan New York tidak jauh di belakang.
Bandar raya AS paling padat penduduk itu diselubungi asap mengandungi zarah halus yang berbahaya kepada kesihatan. Seluruh kawasan metropolitan New York dan Long Island kini diliputi jerebu tebal.
Pihak berkuasa menggalakkan warga New York menghabiskan masa sesingkat mungkin di luar, dengan Datuk Bandar Zohran Mamdani memberi amaran tentang ‘ancaman serius’ haba ekstrem dan kualiti udara tidak selamat.
Perpustakaan dan stesen kereta api menawarkan pelitup muka percuma, manakala ratusan pusat hawa dingin dibuka di seluruh Bandar Raya New York untuk mereka yang tiada akses kepada penyaman udara.
“Asap yang menyelubungi kali ini adalah paling ketara sejak 2023 dan keadaan dipantau rapi untuk sebarang kemerosotan,” kata Jabatan Pengurusan Kecemasan Bandar Raya New York.
Pada 2023, langit kota raya itu bertukar jingga, dengan indeks kualiti udara mencapai 465 yang sangat berbahaya.
Di Kanada pula, kebakaran hutan setakat ini memusnahkan kawasan seluas sekurang-kurangnya 1.9 juta hektar, hampir menyamai saiz negara Slovenia. – AFP














