KUALA LUMPUR – Skuad Malayan Tigress gagal untuk memanfaatkan status selaku tuan rumah selepas misi untuk mara ke separuh akhir Piala AFF Wanita 2026 tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, Malaysia turun dengan misi memburu tiga mata sekiranya berhasrat untuk melangkah ke kelompok empat negara terbaik pada edisi kali ini.
Namun, semangat pasukan kendalian Joel Cornelli itu apabila The Lionesses meledak jaringan pembukaan seawal minit ke-12 menerusi Yuvika Suresh.
Momentum pelawat diteruskan apabila Danelle Tan menggandakan kelebihan pada minit ke-45 bagi meletakkan Singapura selesa mendahului 2-0 sebelum wisel babak pertama ditiupkan.
Bersambung pada separuh masa kedua, Malayan Tigress kembali menghidupkan peluang apabila Henrietta Justine merapatkan jurang pada minit ke-59 untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Bagaimanapun, Danelle sekali lagi menjadi duri dalam daging buat benteng negara apabila meledak gol ketiga Singapura pada minit ke-75 dengan keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen dengan hanya satu mata hasil satu seri dan satu kekalahan selepas turut seri 1-1 bertemu Laos, minggu lalu. – KOSMO! ONLINE














