fbpx
Tangkap layar video dimuat naik Dr. Mahathir di akaun Facebooknya, hari ini.

45 tahun selepas angkat sumpah, Tun M kongsi asal usul sistem ‘punch card’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hari ini genap 45 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981.

Bersempena tarikh bersejarah tersebut, bekas Perdana Menteri itu mendedahkan antara keputusan awal pentadbirannya adalah memperkenalkan sistem perakam waktu atau ‘punch card’ dalam perkhidmatan awam.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, Dr. Mahathir berkata, sistem perakam waktu yang dilaksanakan adalah bagi meningkatkan disiplin dan ketepatan masa dalam kalangan penjawat awam.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas melihat sendiri terdapat kakitangan yang meninggalkan pejabat lebih awal ketika beliau menjawat jawatan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MITI).

“Saya suka berpegang pada masa, suka datang pejabat tepat pada masa, tidak lewat sangat. Saya dapati kalau ada temu janji, orang datang lewat saya berasa kecewa.

“Saya masa itu Menteri MITI. Bila pukul 3 petang, saya bangun hendak tengok keadaan di luar macam mana. Saya tengok ramai orang keluar, jadi saya tanya, kenapa?” katanya.

Dr. Mahathir berkata, kakitangan terbabit memaklumkan mereka pulang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, sedangkan waktu bekerja masih belum tamat.

“Jadi masa belum balik, dia sudah balik. Itu tidak kena langsung. Kita buat kerja sekian jam, kita kena tunaikan janji kita.

“Selepas itu, apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya buat keputusan mengadakan perakam waktu masuk dan keluar pejabat dan akhirnya ia menjadi amalan sehingga sekarang,” katanya.

Untuk rekod, sistem perakam waktu diperkenalkan dalam perkhidmatan awam pada awal pentadbiran Dr. Mahathir sebagai sebahagian usaha meningkatkan disiplin, produktiviti dan akauntabiliti penjawat awam.

Melalui sistem tersebut, kakitangan kerajaan perlu merekodkan waktu masuk dan keluar bekerja menggunakan kad perakam waktu bagi membolehkan kehadiran dipantau secara lebih sistematik.

Walaupun sistem berkenaan kini banyak digantikan dengan teknologi biometrik dan rekod kehadiran digital, prinsip ketepatan masa dan pematuhan waktu kerja terus diamalkan dalam sektor awam.

Dalam video yang sama, mengimbau kembali detik lantikannya sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir tidak pernah membayangkan akan memegang jawatan tertinggi negara kerana berasal daripada keluarga biasa dan merupakan anak kepada seorang guru.

“Saya tak ada mimpi nak jadi Perdana Menteri. Anak guru apa ada? Macam Tunku (Tunku Abdul Rahman), dia Tunku daripada kerabat diraja, Tun Razak (Tun Abdul Razak) daripada golongan elit, Tun Hussein keturunan Datuk Onn.

“Orang atas semua, saya duduk di bawah, tiba-tiba naik jadi nombor satu. Saya tak percaya,” katanya.

Menurut beliau, perkara pertama yang bermain dalam fikirannya ketika itu ialah sama ada pelantikan tersebut benar-benar berlaku.

“Apa dalam fikiran saya masa itu, soalannya adakah ini benar? Saya tak percaya adakah ini benar.

“Saya masa itu wakil rakyat, tetapi tidak pernah fikir daripada wakil rakyat boleh jadi Perdana Menteri,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN