PETALING JAYA – Perkongsian seorang pengguna Threads mengenai kewujudan kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan pensyarah dan ibu bapa pelajar diploma mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkan amalan itu tidak lagi sesuai di peringkat pengajian tinggi.
Pengguna Threads, @Rizzkal_, berkata dia terkejut apabila adiknya yang bakal mengikuti pengajian diploma dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp melibatkan pensyarah dan ibu bapa, selain mendakwa kumpulan itu dipenuhi pelbagai soalan berkaitan urusan harian pelajar.
“Antara soalan yang dikemukakan termasuk mengenai bajet makanan, jumlah pakaian yang perlu dibawa, spesifikasi komputer riba, wang perbelanjaan bulanan dan perkara-perkara asas lain,” katanya.
Dalam hantaran susulan, @Rizzkal_ turut memaklumkan bahawa pensyarah sebenarnya telah menyediakan senarai soalan lazim (FAQ), namun masih menerima pertanyaan yang berulang daripada ibu bapa.
“Pensyarah sebenarnya sudah menyediakan FAQ dan menjawab beberapa persoalan. Namun, masih terdapat ibu bapa yang mengemukakan soalan yang sama berulang kali,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Syhbee, berpandangan budaya mewujudkan kumpulan ibu bapa seperti itu tidak wajar diteruskan sehingga ke institusi pengajian tinggi.
“Pada pandangan saya, kumpulan seperti ini memadai ketika anak masih di sekolah rendah. Di peringkat diploma, pelajar sepatutnya sudah mampu menguruskan hal mereka sendiri,” katanya.
Pengguna lain, @Qeyla_sidik mengakui baru pertama kali mengetahui kewujudan kumpulan WhatsApp melibatkan ibu bapa bagi pelajar diploma.
“Saya baru pertama kali mendengar mengenai kumpulan ibu bapa untuk pelajar diploma. Perkara seperti ini sepatutnya tidak perlu diwujudkan,” katanya.
Sementara itu, @Shoeheida berpendapat ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak-anak untuk belajar berdikari apabila melangkah ke institusi pengajian tinggi.
“Apabila sudah berada di institusi pengajian tinggi, biarlah pelajar menguruskan diri sendiri. Jika ibu bapa terus menguruskan setiap perkara, bilakah mereka akan belajar menjadi individu yang berdikari,” katanya. – KOSMO! ONLINE















