fbpx
Mohd. Shuhaily.

Tidak puas hati pasal perkhidmatan punca suspek ugut tembak pegawai AKPS 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Tidak berpuas hati dengan perkhidmatan menjadi punca seorang individu dipercayai ejen mengugut tembak seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, berdasarkan hasil semakan yang dilakukan pasukannya mendapati suspek dikatakan enggan memberi kerjasama terhadap pegawai terbabit.

“Apa yang berlaku ialah pengadu (suspek) itu sendiri yang agak kurang memberi kerjasama pada peringkat awal. 

“Pegawai kita hanya meneruskan kerja dan berlaku sedikit salah faham di situ. Akhirnya, beliau membuat ugutan secara terbuka yang didengari oleh beberapa orang lain di situ lah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan berhubung kejadian berlaku kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Kita telah membuat laporan polis dan seterusnya pihak polis akan membuat siasatan.  Mungkin dengan adanya pengecaman, tangkapan akan dibuat oleh pihak PDRM,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan seorang pegawai AKPS diugut tembak oleh seorang individu dipercayai ejen ketika melaksanakan tugas rasmi.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan itu dan laporan mengenainya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN