PETALING JAYA – Dikecam tidak sensitif dan bagai kurang pendidikan ketika mengendalikan program hiburan, pengacara Nabil Ahmad menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu serius dalam menilai setiap gurauan di pentas kerana semuanya sekadar sebahagian daripada persembahan.
Ujar Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 43, setiap dialog dan usikan dilontarkan ketika mengacarakan sesebuah program dibuat dengan persetujuan pihak produksi serta langsung tidak berkait dengan kehidupan peribadi mana-mana individu.
“Pertamanya bagi saya, semua kena belajar terima bahawa ini sekadar hiburan. Tak payah ambil serius sangat.
“Saya pun ada kerja yang perlu dibuat. Pihak produksi setuju dan saya pun setuju. Semua itu memang sebahagian daripada persembahan.
“Apa yang saya buat di atas pentas langsung tak ada kena-mengena dengan hal peribadi,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, Nabil mengakui sengaja mengelak daripada membaca komen dalam Threads kerana menganggap platform tersebut terlalu toksik dan tidak memberi manfaat.
“Semuanya berlaku dalam rancangan. Apa yang saya buat hanya untuk persembahan, bukan bersifat peribadi.
“Sebab itu saya tak berminat merujuk apa-apa di Threads kerana pada saya tempat itu sangat toksik dan tidak membina.
“Saya tak nampak perkara positif di situ. Apa sahaja kandungan di sana lebih menjurus kepada perkara negatif,” ujarnya.
Tambah penyampai Era FM, dia bersyukur tidak mempunyai akaun Threads kerana enggan membiarkan kecaman memberi kesan terhadap kesihatan mental.
“Saya bersyukur tak ada Threads. Saya memang tak ambil tahu sebab nak jaga kesihatan mental.
“Saya hanya buat kerja saya. Selagi pihak produksi masih beri peluang, saya bersyukur masih dapat terus bekerja dalam industri,” tegasnya.
Dalam masa sama, Nabil menyifatkan setiap publisiti diterima sebagai lumrah dalam dunia hiburan dan tidak perlu diperbesarkan.
“Dari dulu saya selalu cakap, apa juga publisiti tetap publisiti. Itu sebahagian daripada persembahan dan kerjaya.
“Threads memang tempat orang bergurau dan melontarkan pelbagai pandangan. Orang jual goreng pisang pun boleh kena kecam. Jadi bagi saya, apa berlaku di situ tak penting.
“Apa yang lebih utama adalah rancangan sebenar, persembahan secara langsung serta peserta-peserta yang saya bersama mereka sejak sesi latihan,” jelasnya.
Sebelum ini, gurauan Nabil ketika mengendalikan Big Stage X Rocketfuel mengundang kritikan segelintir penonton apabila didakwa memalukan dan menjatuhkan semangat peserta, Sabrina, sewaktu sesi penyingkiran.
Malah, isu tersebut hangat diperkatakan dalam Threads apabila ramai netizen meluahkan rasa kurang senang terhadap cara pengacaraan Nabil dalam program berkenaan. – KOSMO! ONLINE















