PORT DICKSON – Nelayan yang terkesan susulan projek Pelabuhan Kontena Pintar Berkuasa AI Pertama Malaysia akan diberikan bayaran pampasan bulanan sebanyak RM1,000 sehingga projek ini siap dilaksanakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, aspek rundingan, pampasan, pemantauan alam sekitar, keselamatan dan kelangsungan hidup
komuniti mesti diberi keutamaan susulan pembangunan berskala besar seumpama itu.
“Tindakan ini sebagai komitmen kerajaan negeri bahawa pembangunan yang dibawa tidak akan meninggalkan mereka yang terkesan.
“Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan baru akan diwujudkan melalui pembangunan projek ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Midport, Pelabuhan Kontena Pintar Berkuasa AI Pertama Malaysia di Pasir Panjang, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.- KOSMO! ONLINE















