fbpx
Hadir dengan album baharu, Hijjaz bakal mengadakan konsert istimewa yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober depan.

Hijjaz gegar Istana Budaya, rai tiga dekad dengan album baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Selepas tiga dekad mewarnai industri nasyid tanah air, kumpulan legenda Hijjaz terus menyuburkan irama dakwah apabila mengumumkan penganjuran konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober depan, selain melancarkan album studio terbaharu berjudul Akhir Bersamamu.

Mewakili pihak penganjur, anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun, 45, berkata, penganjuran konsert tersebut didorong kebangkitan semula industri nasyid sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Konsert anjuran Inteam Records bakal menjadi medan mengimbau nostalgia peminat menerusi kira-kira 30 lagu malar segar.

“Juga memperkenalkan beberapa karya baharu daripada album terbaharu kumpulan berkenaan. Jualan tiket akan dibuka bermula 24 Julai ini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Hazamin, konsert tersebut bakal menghimpunkan lagu-lagu hit Hijjaz sepanjang perjalanan seni mereka, selain memberi peluang kepada penonton mengimbau kenangan menerusi sesi nyanyian bersama.

“Konsert ini akan mempersembahkan sekitar 30 lagu berkonsepkan nostalgia, selain beberapa karya baharu. Susunan lagu masih belum dimuktamadkan, tetapi apa pasti penonton akan dapat menyanyi bersama.

“Lagu Akhir Bersamamu turut dimuatkan sebagai simbolik kebersamaan dengan Allah SWT. Maksudnya bukan Hijjaz mahu mengakhiri perjalanan bersama peminat, sebaliknya jika diteliti liriknya — membawa makna akhir kalam kita adalah untuk Allah,” ujarnya pada sidang media pelancaran album terbaharu Hijjaz, di sini, hari ini.

Paling penting kata Hazamin, keyakinan menganjurkan konsert tersebut hadir selepas melihat sambutan luar biasa terhadap persembahan artis nasyid sejak kebelakangan ini.

“Hijjaz sudah bertapak selama 30 tahun dan mempunyai kelompok peminat tersendiri. Kami percaya konsert ini memang dinanti-nantikan.

“Bukan Hijjaz sahaja akan membuat persembahan, malah legasi anak didik mereka seperti Inteam, Mustika dan Ae-man juga akan turut serta,” kongsinya.

Sementara itu, anggota Hijjaz, Isman Isam, 57, berkata, persembahan di Istana Budaya perlu hadir bersama sesuatu istimewa sebagai kenangan buat peminat.

“Sesuai dengan konsep Istana Budaya, sudah tentu perlu ada buah tangan untuk dibawa pulang.

“Kami mempunyai 28 album, jadi proses memilih lagu memang sangat mencabar. Kami hanya akan menyenaraikan karya terbaik,” luahnya.

Selain pengumuman konsert, Hijjaz turut memperkenalkan album studio terbaharu Akhir Bersamamu yang sudah mula dilancarkan di semua platform penstriman digital.

Album berkenaan memuatkan enam lagu baharu iaitu Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-Mu, Seiring Seganding dan Rufaidah Al-Aslamiyah.

Kesemua karya diterbitkan hasil sentuhan anggota Hijjaz sendiri iaitu Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim, selain menampilkan lirik nukilan nama besar seperti Datuk Habsah Hassan, Lukhman S, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam dan Abai Os. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN