MELAKA – Orang ramai di negeri ini dibenarkan membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengepung lembu atau kerbau yang berkeliaran di luar kawasan penternakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu bagi membantu menangani isu haiwan ternakan yang dilepaskan sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, orang ramai bukan sahaja boleh merakam gambar atau video haiwan terbabit, malah membantu mengepungnya sementara menunggu ketibaan penguat kuasa PBT.
“Kalau lembu itu berada di luar kawasan penternakan dan tidak mempunyai QR Tag, rakyat boleh kepung, tiada masalah, kemudian minta PBT datang tangkap.
“Kita nak beri kuasa juga kepada rakyat untuk menjadi mata dan telinga kepada PBT supaya penternak tahu bukan penguat kuasa sahaja yang boleh mengambil tindakan, orang ramai juga boleh membantu,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, tindakan mengepung haiwan terbabit hanya boleh dilakukan sekiranya ternakan berkenaan tidak dipasang QR Tag dan berada di luar kawasan ladang atau penternakan pemiliknya.
Beliau berkata, sehingga Jun lalu, kira-kira 4,500 ekor lembu dan kerbau di Melaka telah dipasang QR Tag, manakala kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 32,000 ekor ternakan dipasang tag berkenaan menjelang Disember ini. – KOSMO! ONLINE















