KANSAS – Peminat Piala Dunia menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung penyerang Argentina, Lautaro Martinez daripada beraksi dalam perlawanan separuh akhir menentang England selepas didakwa melanggar peraturan.
Penyerang itu menjaringkan gol ketiga yang mengesahkan kemenangan Argentina ke atas Switzerland sekali gus memastikan tempat mereka di peringkat empat pasukan terbaik.
Gol tersebut mencetuskan sambutan penuh kegembiraan apabila Martinez melompat melepasi penghadang dan menyertai para penyokong di tempat duduk penonton untuk meraikan jaringan tersebut.
“Lautaro Martinez sudah pun menerima kad kuning ketika dia menjaringkan gol. Walaupun begitu, dia melintasi penghadang dan naik ke kawasan tempat duduk penyokong untuk meraikannya.
“Itu adalah kesalahan yang sepatutnya dikenakan kad kuning, sekali gus menyebabkan dia tidak boleh bermain menentang England. Jadi pengadil dan VAR seolah-olah mengabaikan peraturan itu,” kata salah seorang penyokong di laman sosial X.
Seorang lagi penyokong mengeluarkan penulisan berbentuk sindiran terhadap FIFA yang dilihat terlalu menyebelahi Argentina pada kempen kali ini.
“Tiada kad kuning kedua, tiada penggantungan untuk separuh akhir. Sudah tentu orang ramai akan mempersoalkannya.Perkaranya jelas dan mudah. Dia sepatutnya tidak dibenarkan bermain menentang England dalam perlawanan seterusnya,” tulisnya.
Dalam Undang-undang Permainan yang ditetapkan oleh FIFA dinyatakan dengan jelas bahawa seseorang pemain mesti diberikan kad kuning, walaupun gol tersebut akhirnya dibatalkan, sekiranya dia melanggar empat peraturan yang digariskan.
Pertama, memanjat pagar perimeter dan/atau menghampiri penonton dengan cara yang boleh menimbulkan isu keselamatan atau sekuriti atau bertindak secara provokatif, menghina atau membangkitkan kemarahan.
Selain itu, pemain juga tidak boleh menutup kepala atau muka dengan topeng atau objek yang seumpamanya atau menanggalkan jersi atau menutup kepala dengan jersi. – AGENSI















