fbpx
SEBUAH rumah di Kampung Sungai Baru, Jitra musnah dalam kebakaran pada semalam. Foto JBPM KEDAH

Penganggur disyaki bakar rumah ibu selepas bergaduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Seorang penganggur ditahan polis kerana disyaki membakar rumah milik ibunya di Kampung Sungai Baru, di sini semalam selepas dipercayai bergaduh dengan ahli keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, rumah dua tingkat yang tiada penghuni tersebut terbakar dan musnah kira-kira 80 peratus.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, suspek berusia 36 tahun disyaki bertindak demikian selepas dilihat memasuki rumah berkenaan oleh sepupunya yang berniaga tidak jauh dari situ.

Katanya, dalam masa kira-kira 30 minit, suspek dilihat keluar dari rumah sebelum sepupunya ternampak asap dari arah tingkap dekat ruang tamu.

“Sepupunya segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan memadam kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, berdasarkan laporan bomba, kira-kira 80 peratus rumah itu musnah dalam kebakaran tersebut.

“Rumah berkenaan adalah milik ibu suspek berusia 60 tahun yang kini menetap di Pokok Sena.

“Siasatan awal percaya suspek bertindak membakar rumah itu selepas bergaduh dengan ahli keluarganya,” ujarnya.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau iaitu kes ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga mempunyai rekod kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat memusnahkan atau merosakkan rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN