KES penipuan atau ‘scam’ yang menyasarkan warga emas di Malaysia semakin membimbangkan. Kerap kita dengar laporan kerugian besar terpampang di dada akhbar membabitkan mangsa yang kehilangan simpanan ratusan ribu, malah ada yang mencecah jutaan ringgit.
Lebih menyedihkan, wang yang lesap sering kali merupakan simpanan persaraan hasil titik peluh sepanjang hayat bekerja. Angka rasmi mengesahkan betapa seriusnya senario ini. Sepanjang tahun 2025, penipuan dalam talian menyebabkan kerugian mencecah hampir RM3 bilion, antara jenayah komersial paling pesat berkembang di negara ini.
Warga emas pula termasuk kumpulan paling terdedah, yang mana menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), golongan ini mencatatkan kerugian sebanyak RM986.15 juta membabitkan 3,837 kes pada tahun 2024, dengan bilangan kes dilaporkan meningkat lebih 80 peratus pada tahun berikutnya.
Selain menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan atau institusi kewangan, ‘scammer’ kini semakin agresif menyasarkan warga emas menerusi aplikasi komunikasi seperti WhatsApp dan Telegram. Antara taktik yang sering digunakan ialah tawaran pelaburan dengan pulangan lumayan dalam masa singkat, permintaan ‘pinjaman’ daripada akaun kenalan yang telah dirampas serta tawaran bantuan kebajikan atau kewangan yang kelihatan meyakinkan tetapi sebenarnya palsu.
Modus operandi lain melibatkan penyamaran sebagai pegawai polis, wakil Tenaga Nasional Berhad, pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak bank atau insurans. Mangsa dimaklumkan bahawa mereka kononnya terlibat dalam kes jenayah seperti penggubahan wang haram sehingga menimbulkan panik, lalu diarah memindahkan wang ke akaun siasatan, menyerahkan maklumat perbankan, malah kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor PIN.
Tidak kurang juga kes ‘love scam’, apabila mangsa diperdaya melalui hubungan emosi yang dibina dalam talian sebelum diminta memindahkan wang atas pelbagai alasan. Lazimnya, mangsa hanya sedar mereka ditipu selepas simpanan seumur hidup lesap.
Di sebalik angka kerugian, terdapat sisi yang jarang dibincangkan iaitu cabaran yang dihadapi keluarga mangsa sendiri. Ramai warga emas yang terpedaya sebenarnya baharu mula menggunakan telefon pintar dan perbankan dalam talian, menjadikan mereka mudah mempercayai apa yang dilihat atau didengar tanpa menyedari manipulasi. Berbeza dengan kanak-kanak yang penggunaan teknologinya boleh dipantau, warga emas hidup lebih berdikari. Dalam sesetengah kes, mereka lebih mempercayai individu dalam talian berbanding nasihat anak sendiri. Lebih membimbangkan, teknologi kini membolehkan ‘scammer’ menggunakan gambar profil palsu, akaun yang menyerupai kenalan, malah suara yang meyakinkan.

– Gambar hiasan
Kesan penipuan ini bukan sekadar kewangan. Anak-anak sering berasa bersalah kerana gagal menyedari lebih awal, manakala sesetengah keluarga terpaksa mengambil alih pengurusan kewangan ibu bapa sehingga menimbulkan konflik. Mangsa turut kerap mengalami tekanan emosi, rasa malu, malah trauma. Justeru, isu ‘scam’ warga emas bukan sekadar jenayah kewangan tetapi juga cabaran sosial yang menjejaskan kesejahteraan institusi kekeluargaan.
Usaha pencegahan bermula daripada kesedaran keluarga. Ahli keluarga wajar kerap berbincang dengan ibu bapa tentang taktik ‘scam’ terkini supaya mereka tidak mudah panik apabila menerima panggilan yang mendesak atau mengugut.
Nombor telefon atau akaun yang mencurigakan boleh disemak melalui portal Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala taktik terbaharu boleh diikuti menerusi laman JanganKenaScam.com.
Jika transaksi mencurigakan sudah berlaku, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) di talian 997 dengan segera bagi menyekat aliran wang.
Talian ini beroperasi 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dan tindakan dalam tempoh 24 jam amat kritikal. Perlu diingat, NSRC hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan tidak sekali-kali membuat panggilan keluar, maka sebarang panggilan yang mendakwa daripada pegawai NSRC patut terus ditolak. Setiap kes juga perlu dilaporkan kepada pihak polis.
Peranan pegawai bank dan orang awam turut penting. Banyak kes berjaya dihentikan apabila pegawai bank menyoal pelanggan warga emas yang ingin membuat transaksi besar, terutamanya jika ditemani individu yang mencurigakan. Begitu juga, sekiranya warga emas dilihat membuat transaksi di mesin ATM sambil menerima arahan melalui telefon, satu pertanyaan sopan daripada orang sekeliling kadangkala cukup untuk memberi mereka peluang berfikir semula sebelum wang dipindahkan.
Dalam masyarakat yang semakin bergantung kepada teknologi, literasi digital dalam kalangan warga emas perlu diperkukuh. Bukan sekadar kemahiran menggunakan peranti tetapi keupayaan berfikir secara kritikal terhadap maklumat dalam talian. Ahli keluarga boleh membantu dengan mengajar asas keselamatan digital seperti tidak berkongsi maklumat perbankan atau menyerahkan kad ATM dan nombor PIN. Warga emas juga perlu sedar bahawa mesej, gambar, malah suara yang diterima kini boleh dimanipulasi.
Namun, perlindungan ini bukan tanggungjawab keluarga semata-mata. Penyedia rangkaian telekomunikasi dan pengeluar peranti perlu lebih proaktif. Antaranya melalui ciri keselamatan lalai (default security settings), penapisan panggilan mencurigakan dan kempen kesedaran berterusan.
Manakala, kerajaan pula perlu memperkukuh dasar dan perundangan keselamatan siber serta menghukum tegas mereka yang menyalahgunakan teknologi untuk menipu. Akhirnya, melindungi warga emas daripada ‘scam’ ialah tanggungjawab bersama. Kadangkala, satu peringatan, satu pertanyaan atau satu tindakan pantas mampu menyelamatkan seseorang daripada kerugian dan penyesalan di usia senja, supaya teknologi yang sepatutnya memudahkan kehidupan tidak bertukar menjadi punca derita.
PENULIS merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Teknologi dan Pengurusan Perisian, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).















