fbpx
SAARANI (tengah) menyampaikan replika kunci kepada pembeli selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Astana Chemor, Ipoh hari ini.

Sokongan rakyat sentiasa berubah, BN tidak boleh ambil mudah – Saarani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh ditafsir sebagai petanda sokongan rakyat terhadap gabungan itu telah kembali sepenuhnya kerana landskap politik sentiasa berubah.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, corak sokongan pengundi sentiasa berubah mengikut keadaan semasa dan tidak wajar diambil mudah meskipun BN berjaya mencatat kemenangan besar.

Katanya, pengalaman lalu membuktikan kemenangan pada pilihan raya negeri tidak semestinya diterjemahkan kepada kejayaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

“Syukur alhamdulillah atas kemenangan itu dan terima kasih kepada rakyat Johor yang telah mengundi. Tahniah juga kepada semua petugas yang telah bertugas.

“Tetapi, itu tidak boleh dikatakan sebagai petunjuk. Kalau ingat PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022, memang BN menang. Tetapi bila datang PRU, habis.

“Pengundi ini berubah-ubah, mereka sangat dinamik. Sebab itu, walaupun kita bersyukur dan berterima kasih (atas kemenangan), kita tidak boleh mengambil mudah sokongan tersebut.

“Sebab manusia ini, perubahannya macam-macam, (ada dipengaruhi) harga baranglah, hujanlah dan banjir,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Astana Chemor, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas desakan supaya Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming meletakkan jawatan susulan keputusan PRN Johor, Saarani enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun secara berseloroh beliau mengakui, sebagai ahli politik, ada kalanya mereka boleh terlepas cakap.

“Itu tak boleh komen. Saya pun ahli politik juga. Kadang-kadang kita boleh terlepas cakap,” katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan BN memenangi 48 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini, manakala lapan kerusi lagi berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Perikatan Nasional (PN) pula gagal memenangi sebarang kerusi di kesemua 33 kawasan DUN yang ditandingi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN