MIAMI – Bintang England, Jude Bellingham muncul wira apabila meledak dua gol untuk membantu Three Lions bangkit menewaskan Norway 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 sebentar tadi.
Kemenangan dramatik itu memastikan England mara ke separuh akhir buat kali kedua dalam tiga edisi Piala Dunia lepas, sekali gus meneruskan impian untuk menjulang trofi berprestij itu sejak kali terakhir muncul juara pada 1966.
England bagaimanapun dikejutkan terlebih dahulu apabila Andreas Schjelderup meletakkan Norway di depan pada minit ke-36 untuk menewaskan penjaga gol Jordan Pickford.
Namun, Bellingham kembali menghidupkan harapan England apabila menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.
Perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling mengasak, malah jaringan Harry Kane dan pertahanan Norway, Torbjorn Heggem, masing-masing dibatalkan atas kesalahan ofsaid dan kekasaran.
Selepas keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit, Bellingham sekali lagi menjadi pemisah apabila menyempurnakan peluang dari jarak dekat hanya tiga minit selepas masa tambahan bermula.
Pengendali Norway, Stale Solbakken membuat keputusan mengejut apabila mengeluarkan penyerang utama, Erling Haaland untuk digantikan oleh Jorgen Strand Larsen dalam usaha memburu gol penyamaan.
Bagaimanapun, keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat dengan England bakal berdepan dengan Argentina atau Switzerland di separuh akhir, minggu depan. – AGENSI















