ISKANDAR PUTERI – Perikatan Nasional (PN), Bersama, Muda, Asli, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta calon-calon Bebas masih belum memenangi satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat pukul 10.40 malam tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan, bagaimanapun Barisan Nasional (BN) boleh membentuk kerajaan negeri baharu selepas berjaya memenangi 29 kerusi sekali gus menguasai majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, dalam waktu sama Pakatan Harapan (PH) memenangi dua kerusi.
“Bagi keseluruhan pengundi sehingga pukul 10.32 malam BN telah memenangi sejumlah 29 kerusi daripada 56 kerusi yang diperuntukkan.
“Dan dengan ini telah berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan, ” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama SPR di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.















