fbpx
Antara OKU yang dieksploitasi dua wanita warga asing di ibu negara semalam.

Wanita Indonesia guna OKU tempatan untuk mengemis terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taktik licik sekumpulan wanita warga Indonesia yang memanipulasi individu orang kurang upaya (OKU) tempatan cacat penglihatan untuk meraih simpati orang ramai dengan kegiatan mengemis akhirnya terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 10 malam di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, lima wanita warga Indonesia berusia antara 29 hingga 56 tahun diberkas hasil risikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 10 individu membabitkan lima warga tempatan dan lima warga asing.

“Semakan mendapati dua suspek menyalahgunakan pas yang dimiliki iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara sektor pembantu rumah dan Pas Lawatan Sosial.

“Seorang lagi didapati tinggal lebih masa, manakala dua individu tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas tiga pasport Indonesia, beberapa barangan yang digunakan dalam kegiatan itu serta wang tunai RM159 yang dipercayai hasil kutipan mengemis.

Siasatan awal mendapati warga Indonesia terbabit bertindak memimpin individu OKU cacat penglihatan ke lokasi tumpuan ramai, khususnya di kawasan kedai makan pada waktu malam, sebelum berpura-pura menjadi pasangan suami isteri bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Orang ramai yang menghulurkan sumbangan pula diberikan tisu sebagai balasan bagi mewujudkan gambaran kononnya mereka menjalankan aktiviti jualan.

Kegiatan yang dipercayai bermula sejak Januari lalu itu dianggarkan meraih pendapatan antara RM100 hingga RM200 setiap malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Zakaria menegaskan JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang demi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN