fbpx
MERINO meledak gol kemenangan Sepanyol ketika mereka membenam Belgium untuk mara ke separuh akhir. - AFP

Piala Dunia 2026: Sepanyol nikmati impak Merino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CALIFORNIA – Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente memuji aksi ditampilkan anak-anak buahnya ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Belgium pada suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, Mikel Merino yang masuk sebagai pemain gantian menjadi wira skuad La Roja apabila meledak gol kemenangan ketika aksi berbaki dua minit selepas menolak masuk bola akibat tangkapan kurang kemas penjaga gol Belgium, Senne Lammens.

Kemampuan Merino yang sering menjadi ‘penyelamat’ pasukan Sepanyol ketika situasi genting membuktikan bahawa pasukan itu dibarisi pemain-pemain berkualiti, termasuk yang berada di bangku simpanan.

De La Fuente berkata, beliau sentiasa ‘pening kepala’ untuk memilih kesebelasan utama yang akan diturunkan dalam setiap perlawanan kerana menganggap kesemua pemain memiliki kelebihan masing-masing.

“Ada orang cakap tidak adil buat Mikel (Merino) jika dia tidak berada dalam kesebelasan utama. Jika saya menurunkannya dalam kesebelasan utama, perkara sama juga akan dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, pemain-pemain saya faham bahawa hanya 11 pemain boleh diturunkan dan mereka juga berpeluang untuk bermain. Oleh sebab itu saya sangat gembira untuk menjadi jurulatih mereka,” katanya.

Selepas memastikan kemaraan ke separuh akhir, Sepanyol dijangka berdepan aksi paling sukar pada kempen kali ini apabila bakal membuat perhitungan dengan juara edisi 1998 dan 2018, Perancis awal pagi Rabu nanti.

Sementara itu, De La Fuente menyifatkan, kekuatan La Roja adalah dari segi semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pemain dan tidak bergantung kepada kemahiran individu semata-mata.

“Apa yang penting untuk pasukan ini adalah kerjasama sebagai satu pasukan dan kami turut dibarisi pemain-pemain terbaik dunia. Ia membuatkan tugas saya lebih mudah kerana mereka sangat profesional,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN