GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda kebajikan dan keterangkuman sosial rakyat dengan menyalurkan bantuan RM53.87 juta kepada 285,370 penerima menerusi enam program di bawah i-Sejahtera bagi Fasa Satu, tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program berkenaan terus diperkasakan selaras dengan agenda kebajikan dan keterangkuman sosial kerajaan negeri bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan.
“Program i-Sejahtera terus diperkasakan yang mana bagi Fasa Satu Tahun 2026, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan berjumlah RM53.87 juta kepada 285,370 penerima menerusi enam program di bawah i-Sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rasmi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ke-85 di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.
Sambutan itu diadakan bagi meraikan Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib, selain menzahirkan penghormatan terhadap institusi Yang Dipertua Negeri sebagai lambang perpaduan, kestabilan dan kedaulatan negeri.
Menurut Chow, sebanyak RM639 juta telah disalurkan kepada golongan memerlukan sepanjang 16 tahun pelaksanaan program i-Sejahtera. – KOSMO! ONLINE















