fbpx
ANTARA kenderaan rosak akibat dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab dalam kejadian di beberapa taman perumahan di Gerik.

Dua remaja lelaki baling batu, rosakkan kenderaan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Polis menahan dua remaja lelaki yang dipercayai terbabit kegiatan khianat membaling batu bata ke arah kenderaan di sekitar Gerik di sini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, suspek berusia 13 dan 14 tahun itu ditahan pagi ini susulan laporan polis yang diterima kira-kira pukul 2.38 petang semalam.

Katanya, kejadian itu melibatkan perbuatan memecahkan cermin lapan buah kenderaan pelbagai jenis di Taman Sri Temenggor, Taman Meha dan Taman Gerik.

“Hasil tindakan pantas polis dalam tempoh kurang 24 jam berjaya membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.

“Siasatan awal mendapati mereka mengaku terbabit melakukan perbuatan khianat itu bersama dua lagi rakan yang masih bebas sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM10,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan batu dan bata untuk melakukan perbuatan khianat tersebut.

Katanya, beberapa barang kes termasuk sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipakai semasa kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Samad menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan masa depan.

“Ibu bapa juga boleh dikenakan liabiliti perundangan jika kecuaian mereka menyebabkan anak-anak terbabit dalam jenayah, ponteng sekolah, buli atau vandalisme,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan cermin beberapa kereta pecah dan cermin sisi kenderaan dipatahkan pihak tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN