fbpx
Mazanah ditemani anak, menantu lelaki serta cucu perempuannya hadir proses pengundian PRN Johor di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru hari ini.

Tiga generasi teruja keluar mengundi awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tiga generasi sebuah keluarga tidak melepaskan peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini pagi tadi.

Mazanah Mohd. Zain, 69, tiba di Pusat pengundian itu kira-kira pukul 8.30 pagi tadi dengan menaiki kerusi roda ditemani anak dan menantu serta cucu perempuannya.

Menurut Mazanah, dia tidak pernah gagal untuk menjalani proses pengundian sejak berusia 20an sehingga kini walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Makcik sudah keluar mengundi kat Bandar Baru Uda ini sebanyak empat kali, sebelum itu pernah merasa mengundi awal ketika arwah suami berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak.

“Makcik tekankan kepada anak-anak dan cucu mengenai kepentingan proses pengundian dalam menentukan pemerintah yang kita mahukan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Cucunya, Ersya Nadzra Mohd. Nadzrin, 22, cukup teruja untuk keluar mengundi buat pertama kali bersama ibu bapa dan neneknya.

Katanya, dia bangun seawal pukul 6.30 pagi dan memastikan ahli keluarganya sudah bersiap untuk keluar mengundi awal pagi bagi mengelakkan kesesakan.

“Saya memang teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat pertama kali. Insya-Allah, saya sudah fikir semasak-masaknya calon yang dipilih,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak, Ahmad Irfan Harif Ahmad Izwan, 19, berkata, proses pengundian ini penting dalam memenangkan calon wakil rakyat yang boleh bekerja untuk masyarakat.

Ahmad Irfan yang mengikuti pengajian Diploma Pertanian itu teruja untuk keluar mengundi buat pertama kali pada PRN Johor ke-16 ini.

“Kebetulan sekarang ini berada dalam tempoh cuti semester dan sudah pulang ke Johor sejak bulan lalu. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk mengundi buat pertama kali.

“Setiap undi adalah berharga dan merupakan tanggungjawab setiap rakyat yang layak untuk mengundi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN