PETALING JAYA – Trend rakyat Malaysia melakukan dua atau tiga pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan dilihat semakin meningkat, namun usaha mengejar kestabilan kewangan itu perlu diseimbangkan dengan penjagaan kesihatan mental.
Pakar Perunding Psikiatri Hospital An-Nur, Datin Dr. Riana Abdul Rahim berkata, individu yang mempunyai matlamat jelas seperti mahu membeli rumah, memiliki kenderaan sendiri atau membina simpanan masa depan lazimnya memperoleh manfaat psikologi yang positif.
Menurut beliau, matlamat yang jelas mampu memberikan seseorang rasa hala tuju dalam kehidupan sekali gus meningkatkan motivasi untuk terus berusaha.
“Apabila seseorang melihat pekerjaan tambahan sebagai pelaburan untuk mencapai sasaran tertentu seperti memiliki rumah, kereta atau menyediakan dana pendidikan anak-anak, mereka cenderung mempunyai motivasi intrinsik yang lebih tinggi.
“Keadaan ini boleh meningkatkan rasa kecekapan diri, kepuasan apabila melihat kemajuan yang dicapai serta memberi harapan terhadap masa depan,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan manfaat tersebut lebih ketara sekiranya matlamat yang ditetapkan adalah realistik, mempunyai tempoh masa yang jelas serta disertai perancangan yang seimbang.
Mengulas mengenai kepelbagaian sumber pendapatan, Dr. Riana berkata, pendapatan tambahan sememangnya mampu mengurangkan tekanan kewangan dan memberikan rasa keselamatan terhadap ketidaktentuan ekonomi.
“Apabila tekanan kewangan berkurangan, seseorang mungkin mengalami tidur yang lebih baik, kurang kerisauan dan dapat memberi tumpuan kepada aspek kehidupan lain.
“Namun, terdapat paradoks kesihatan mental yang perlu diberi perhatian kerana walaupun pendapatan bertambah, kesibukan melampau boleh mencetuskan kebimbangan, keletihan kronik dan meningkatkan risiko kemurungan,” katanya.
Beliau berkata, kesan positif itu bergantung kepada kemampuan individu mengurus beban kerja tanpa mengorbankan masa rehat serta hubungan dengan keluarga.
Menurut beliau, satu kajian mengenai pekerjaan berganda dalam kalangan wanita mendapati golongan tersebut mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda mengalami kebimbangan, insomnia dan keletihan berbanding mereka yang hanya mempunyai satu pekerjaan.
“Bagaimanapun, wanita juga mempunyai peluang menjana pendapatan dari rumah seperti menjual kek, biskut atau menjahit.
“Jika aktiviti itu merupakan minat mereka, ia bukan sahaja menjana pendapatan malah boleh bertindak sebagai satu bentuk terapi yang memberi kepuasan emosi,” ujarnya.















