KUALA LUMPUR – Lapan ahli sindiket warga asing yang menjadikan rumah kampung di kawasan pedalaman sebagai makmal memproses dan membungkus katrij vape mengandungi cecair MDMA untuk diedarkan ke negara jiran diberkas bersama rampasan bernilai RM152,400.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan itu berjaya dipatahkan menerusi Op Pijat dalam lima serbuan di sekitar Meru dan Kajang, Selangor selepas dipercayai aktif sejak 1 Februari.
Beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 21 hingga 40 tahun ditahan dalam dua siri serbuan.
“Hasil serbuan membawa kepada rampasan 500 paket plastik mengandungi katrij vape disyaki mengandungi cecair dadah jenis MDMA seberat 4.98 kilogram dan lapan botol plastik kecil mengandungi cecair dadah sama seberat 197 gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan rumah kampung di kawasan pedalaman sebagai pusat memproses dan membungkus dadah sebelum dihantar ke negara jiran menggunakan bot melalui jalan laut.
Katanya, taktik itu dipercayai bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa selain menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan dan pembungkusan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif methamphetamine, manakala semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Semua suspek direman selama 11 hari bermula 1 Julai hingga 11 Julai bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE















