PETALING JAYA – Negarawan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencatat satu lagi detik bersejarah apabila menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101 hari ini.
Sempena hari istimewa itu, akaun Instagram rasminya, @chedetofficial memuat naik sebuah poster khas yang memaparkan potret beliau bersama angka ‘101’ berwarna keemasan serta tanda pagar #Mahathir101.
Hantaran dengan kapsyen ringkas ‘#Mahathir101 10 July’ itu menerima puluhan ribu tanda suka selain dibanjiri ucapan selamat dan doa daripada orang ramai.
Dr. Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah dan merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik.
Beliau mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura pada 1947.
Selepas menamatkan pengajian pada 1953, beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar sebelum membuka klinik persendirian yang dikenali sebagai Klinik Maha di bandar berkenaan.
Dr. Mahathir kemudiannya muncul sebagai antara tokoh politik paling berpengaruh dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981.
Beliau menerajui negara selama 22 tahun sehingga 2003, sekali gus menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia.
Sepanjang pentadbirannya, negara menyaksikan proses perindustrian dan pemodenan yang pesat menerusi pelaksanaan pelbagai projek termasuk Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (MSC).
Beliau juga memperkenalkan Wawasan 2020 sebagai kerangka bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju, selain memainkan peranan penting dalam penubuhan industri automotif nasional menerusi Proton.
Sumbangannya terhadap pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara menyebabkan beliau dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.
Selepas bersara pada 2003, Tun Dr. Mahathir kembali menerajui negara pada 2018 apabila gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pada usia 92 tahun ketika itu, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh dan mencatat sejarah sebagai ketua kerajaan tertua di dunia sebelum pentadbirannya berakhir pada 2020.
Secara keseluruhannya, Dr. Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri selama hampir 24 tahun menerusi dua tempoh pentadbiran berasingan, iaitu dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
Dalam pada itu, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pula bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Ahad ini.
Dr. Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor dan merupakan anak keenam daripada 10 beradik.
Beliau turut mengikuti pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine dan merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya ketika itu.
Di institusi berkenaan jugalah beliau bertemu Dr. Mahathir sebelum pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh orang anak.
Dr. Siti Hasmah mempunyai rekod perkhidmatan yang panjang dalam bidang kesihatan awam, khususnya berkaitan kesihatan ibu dan kanak-kanak.
Pada 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak sebelum menjadi wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Negeri pada 1974.- KOSMO! ONLINE














