PETALING JAYA – Pelakon Ezzanie Jasny mengakui watak air mata dan wanita teraniya yang sering dipegang dalam beberapa buah drama sebelum ini seperti Dia Bukan Syuga meninggalkan kesan emosi mendalam terhadap dirinya.
Menurut Ezzanie atau nama penuhnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, dia juga sudah lali apabila ramai melabelnya dengak watak wanita tersakiti, didera dan air mata.
“Seperti biasa, rasa-rasanya semua orang pun tahu kalau cerita kena pukul-pukul, memang wajah saya.
“Tapi insya-Allah mungkin tahun ini tahun terakhir saya berlakon watak wanita tersakiti.
“Kalau boleh tak mahu duduk dalam kepompong yang sama saja. Mungkin tahun depan saya nak tukar genre drama lain,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Astro Fandom di sini, baru-baru ini.
Berkongsi impak yang dilalui, dia memberitahu antara kesan yang ditinggalkan disebabkan watak sebegitu adalah keletihan melampau terhadap mental dan fizikalnya.
“Ada kesan dan paling ketara terhadap mental dan fizikal, sangat penat.
“Bila pulang ke rumah memang ‘burn out’ dan menangis,” katanya yang popular dengan watak Nuha dalam Dia Bukan Syurga lakonan bersama Niezam Zaidi dan Nazim Othman.
Dalam masa sama, dia mengakui rindu untuk kembali berlakon dalam drama genre lain seperti romantik komedi.
“Ya memang nak sebab itu saya beritahu mungkin tahun ini cuba habiskan untuk buat cerita-cerita berat.
“Harap tahun depan saya berubah ke drama genre lain dan gembirakan jiwa semula dengan buat cerita-cerita romantik komedi,” jelasnya.
Terbaharu, dia bakal muncul dengan sebuah lagi drama berjudul Bulan Henti Bicara bergandingan bersama Azar Azmi serta Azhan Rani.
Ezzanie berkata, drama terbabit juga antara naskhah terberat yang pernah dilakukan sepanjang bergelar pelakon.
“Masih dengan watak sama, air mata dan sebagainya tetapi boleh dikatakan antara drama yang berat juga untuk saya.
“Meski pun penulis drama ini sama seperti Dia Bukan Syurga dan harap orang dapat bezakan lakonan saya.
“Semoga watak sebagai Zulfa Bulan Henti Bicara ini buat penonton lupakan seketika karakter Nuha dalam Dia Bukan Syurga, terlalu melekat pada saya,” kongsinya.
Bulan Henti Bicara yang bakal ditayangkan bermula 27 Julai depan menerusi slot Megadrama Astro. – KOSMO! ONLINE














