PETALING JAYA – Kadar pengangguran pada bulan Mei 2026 kekal tiga peratus, sama seperti bulan sebelumnya dengan mencatatkan 513,400 orang penganggur, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) semalam.
Menurutnya, pasaran buruh negara menunjukkan peningkatan sederhana seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil, mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang konsisten serta kadar pengangguran yang kekal rendah walaupun berdepan dengan krisis gangguan rantaian bekalan global.
“Tenaga buruh terus menunjukkan momentum peningkatan pada bulan tersebut, naik 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.34 juta orang (April 2026: 17.33 juta), manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.
“Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Mei 2026, dengan pertambahan marginal 0.1 peratus, merekodkan 16.82 juta orang (April 2026: 16.82 juta),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut DOSM, 75 peratus daripada jumlah penduduk bekerja berada dalam kategori pekerja.
Sementara itu, 79.5 peratus daripada jumlah penganggur merupakan penganggur aktif, merujuk kepada individu yang bersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan, dengan 63.9 peratus daripada mereka menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala lima peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh pula berjumlah 7.1 juta orang, terutamanya atas sebab kerja rumah/tanggungjawab keluarga (43.3 peratus) dan bersekolah/latihan (40.5 peratus). – KOSMO! ONLINE














