KOTA BHARU – Sebanyak 25 keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas terlibat kebakaran di Kampung Gok Kapor di sini pada bulan lalu masing-masing menerima sumbangan sebanyak lebih RM12,840.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijang, Datuk Dr. Izani Husin berkata, kesemua sumbangan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM337,000 itu merupakan nilai terkumpul diterima daripada pelbagai pihak yang menghulurkan derma.
Katanya, 25 keluarga mangsa kebakaran masing-masing menerima sumbangan dengan jumlah tersebut manakala dua lagi keluarga mendapat RM8,000 apabila hanya sebahagian sahaja rumah mereka hangus dijilat api.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga memandangkan kebanyakan daripada mangsa masih mempunyai pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bencana Kebakaran di Kampung Badang di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang mangsa kebakaran, Yamin Abdullah, 70, berkata, dia dan keluarganya menyewa di sebuah rumah di Kampung Kedai Buluh di sini selepas kejadian tersebut.
Katanya, urusan bayaran sewa rumah baharu ditanggung pihak Masjid Banggol dan kerajaan negeri untuk tempoh lima bulan pertama.
“Selepas tempoh lima bulan, kami perlu membayar rumah sewa rumah sebanyak RM700 sebulan. Saya dan keluarga akan berjimat cermat untuk menguruskan sumbangan tersebut agak tidak timbul kesulitan pada masa akan datang,” ujarnya. KOSMO! ONLINE














