SHAH ALAM – Seorang pemilik bengkel kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menetak seorang lelaki sehingga parah di Puchong, tahun lalu.
K. Devaidran, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap B. Kartigeyen, 39, dengan menetak badan, kaki dan tangan menggunakan parang di Kampung Bunga Melur, Batu 14 Puchong, kira-kira pukul 11.30 malam, 25 Januari 2025 dan kes dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Sebutan semula ditetapkan pada 13 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE














