ATLANTA – Juara bertahan, Argentina berdepan detik cemas sebelum pamer kebangkitan luar biasa dengan menewaskan Mesir 3-2 untuk layak ke suku akhir Piala Dunia 2026, hari ini.
Selepas ketinggalan dua gol, Cristian Romero, Enzo Fernandez dan penyerang sensasinya, Lionel Messi menjadi watak penting buat Argentina, masing-masing menyumbangkan satu gol dalam tempoh 15 minit terakhir.
Terdahulu, Mesir yang dianggap sebagai pasukan bukan pilihan dalam perlawanan ini terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Yasser Ibrahim pada minit ke-15.
Penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir turut menyinar selepas menyelamatkan sepakan penalti Messi sekali gus beri kelebihan 1-0 buat Mesir di babak pertama.
Kira-kira 14 minit selepas aksi bersambung, Mostafa Zico merobek gawang Argentina buat kali kedua namun jaringan itu dibatalkan sebelum pemain itu menebus kekecewaannya pada minit ke-67.
Minit ke-79, Romero menghidupkan semula harapan Argentina apabila menanduk masuk gol pertama dan empat minit selepas itu, kem Argentina ceria apabila Messi menyerlahkan penyudah sempurna untuk kembali mengikat kedudukan.
Berpunca daripada serangan balas, Fernandez melengkapkan kebangkitan Argentina apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan. AGENSI














