fbpx
Michael Chong (tengah) pada sidang akhbar berhubung Akta Jenayah Siber 2026 di Kuala Lumpur hari ini. - FOTO MCA

Akta Jenayah Siber perlu bendung salah guna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Akta Jenayah Siber 2026 yang baru diluluskan Parlimen disifatkan sebagai langkah penting bagi membendung peningkatan penyalahgunaan media sosial yang semakin membimbangkan.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, jenayah siber kini semakin berleluasa dengan mangsa berdepan penipuan, gangguan dalam talian, ugutan, pemerasan serta serangan terhadap reputasi melalui platform digital.

Menurut beliau, sejak pandemik Covid-19, pihaknya telah menerima lebih 2,000 aduan berkaitan jenayah siber, sekali gus menggambarkan keseriusan isu tersebut.

“Penjenayah menggunakan media sosial untuk menekan mangsa. Mereka memuat naik gambar ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan warga emas bagi mengaibkan serta menakut-nakutkan mangsa supaya menyerahkan wang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ramai mangsa mengalami tekanan emosi selepas menjadi sasaran jenayah siber, namun jumlah kes yang diterima biro itu hanyalah ‘sebahagian kecil’ kerana masih ramai mangsa memilih untuk tidak tampil membuat aduan.

Katanya, beliau bimbang terhadap kecenderungan segelintir individu, pesaing perniagaan dan pempengaruh menggunakan media sosial untuk menyerang pihak lain, termasuk menyebarkan gambar peribadi atau gambar intim tanpa kebenaran.

“Perkara ini perlu dibendung sebelum menjadi lebih serius. Sesiapa sahaja boleh menggunakan media sosial untuk memeras ugut atau memusnahkan reputasi seseorang,” ujarnya.

Tambahnya, Akta Jenayah Siber 2026 yang diluluskan baru-baru ini sebagai mekanisme penting untuk memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap mangsa.

“Semua pihak mempunyai tanggungjawab. Kita berharap akta ini dapat melindungi mangsa dan mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa jenayah siber,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN