PETALING JAYA – Sebuah nota ringkas yang ditulis oleh seorang murid sekolah rendah pada kertas ujiannya menyentuh hati pengguna media sosial selepas dia meluahkan rasa rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Nrlnjhaaaaa, murid berkenaan dilihat meluahkan isi hati dengan meminta guru tersebut untuk memeluknya kerana dia sangat merindui ibunya.
“Cikgu boleh tak peluk saya, saya rindu ibu,” tulis murid berkenaan.
Katanya, murid tersebut baru sahaja berumur sembilan tahun namun telah kehilangan ibunya dua bulan yang lalu.
Guru tersebut turut meluahkan rasa sebak membaca nota tersebut kerana kehilangan ibu bukan sesuatu yang mudah bagi seorang anak kecil.
“Weh aku nak menangis sebab sebak. Kehilangan ibu bukan sesuatu yang mudah, walaupun kita dah besar, dalam hati tetap ada sisi anak kecil yang masih perlukan ibu,” katanya pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mengakui turut bersimpati dengan luahan seorang anak kecil yang telah kehilangan tempat bermanja pada usia yang begitu muda.
“Terima kasih cikgu pelukkan anak ini. Moga pahala besar untuk jasa cikgu-cikgu semua. Sini banjir (menangis) cikgu,” ujar Liyarahman.
“Saya yakin cikgu seorang yang penyayang, sebab itu dia pilih cikgu untuk peluk dia,” kata Syieda.salleh.
“Cikgu tolong peluk dia setiap hari tau sebab budak kecil umur 9 tahun takkan mampu tanggung beban berat macam tu seorang diri,” tambah Zeedanzaa. – KOSMO! ONLINE














