PETALING JAYA – Seorang lelaki menzahirkan rasa syukur selepas terselamat apabila seekor ayam hutan secara tiba-tiba merempuh cermin hadapan van yang dipandunya sehingga pecah dalam kejadian yang dirakam sendiri menerusi telefon bimbit.
Video yang dimuat naik di laman Facebook oleh @Hanafi memaparkan detik seekor ayam dipercayai terbang melintas jalan sebelum menghentam cermin hadapan van dengan kuat sehingga mengakibatkan cermin berkenaan retak dan pecah.
Menerusi kapsyen hantaran itu, dia meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan meskipun berdepan insiden yang hampir mengundang padah.
“Allah masih berikan kesempatan. Video ini tengah rakam aku, tiba-tiba jadi macam ini,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila haiwan liar secara tiba-tiba melintas atau melanggar kenderaan mereka ketika berada di jalan raya.
Seorang pengguna Facebook, @Farhana Falisha, berkata dia pernah berdepan dua kejadian melibatkan burung dan ayam hutan, namun tidak seteruk insiden yang dialami lelaki berkenaan.
“Saya pernah dua kali terkena. Bukan saya yang melanggar, tetapi haiwan itu yang melanggar kenderaan. Alhamdulillah tidak seteruk kejadian ini sehingga cermin pecah. Burung yang melanggar memang mati, manakala ayam hutan pula terbang melintas jalan secara tiba-tiba,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Puan Zue Ina, turut mengimbau pengalaman ketika menunggang motosikal apabila seekor ayam hutan terbang melintas dan terkena cermin sisi motosikalnya.
“Saya pernah mengalaminya ketika balik kampung dengan motosikal. Tiba-tiba ayam hutan terbang melintas dan terkena cermin sisi. Syukur ketika itu saya masih sempat mengawal motosikal dan tidak berlaku perkara yang lebih buruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE














