SEAWAL usia 27 tahun, Ustaz Muhammad ‘Izzan Idris al-Hafiz telah menerima tanggungjawab besar apabila dilantik sebagai Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 iaitu Masjid Negeri Pahang.
Tanggungjawab besar yang dipikul sejak usia muda itu membuatkan anak jati Kuantan itu tekad melakukan pelbagai aktiviti dakwah selain terus menabur bakti sebagai imam utama masjid berkenaan.
Muhammad ‘Izzan, 31, berkata, dia sememangnya berminat menjadi imam dan telah mula menjadi imam sejak berusia 13 tahun ketika belajar di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
“Pada hari ini, saya melihat kerjaya sebagai imam bukan sekadar memimpin solat secara berjemaah dan aktiviti keagamaan, malah sebagai satu medan dakwah yang luas.
“Peranan ini turut merangkumi penglibatan aktif dalam kegiatan sosial, bermasyarakat serta pelaksanaan pelbagai program bersama jemaah dan komuniti setempat,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.
Bukan sahaja di Pahang, penglibatan golongan muda yang berusia 20-an hingga 30-an sebagai imam dilihat menjalar ke masjid-masjid di seluruh negara.
Fenomena itu dilihat turut mampu menarik anak-anak muda untuk mendekati masjid.
Kehadiran imam yang berusia lebih muda ini juga mendorong pelbagai aktiviti bertemakan belia dijalankan di kawasan masjid atau diatur pihak masjid.
Kongsi Ustaz Muhammad ‘Izzan lagi, dalam usaha menarik orang ramai ke masjid termasuk golongan muda pelbagai pendekatan dan aktiviti dilakukan termasuk program
Subuh Warrior yang berjaya menghimpunkan antara 800 hingga 1,500 jemaah pada waktu subuh.
Jelasnya setakat ini penglibatan anak-anak muda dalam program ini amat memberangsangkan, malah mereka dilihat seronok dan konsisten menghadiri program ini.
“Program ini turut melibatkan pelbagai pihak seperti persatuan motosikal, kelab kereta, kelab belia dan lain-lain.
“Lebih membanggakan, program ini pernah menerima keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kehadiran baginda pastinya menjadi satu cerminan serta teladan yang besar kepada golongan belia di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai cabaran besar sebagai seorang imam apatah lagi bagi sebuah masjid negeri, Ustaz Muhammad ‘Izzan berkata, imam perlu bijak berinteraksi dan melayani pelbagai lapisan masyarakat, khususnya di kawasan bandar dan masjid besar.
Selain itu, katanya, seorang imam perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar tidak kekok dalam memenuhi permintaan jemaah atau tetamu.
“Terdapat keadaan imam dijemput ke sesuatu majlis seperti jamuan makan, namun setibanya di sana diminta untuk memimpin doa selamat, melakukan tahnik bayi, menyampaikan tazkirah atau mengetuai tahlil.
“Hal ini menuntut imam agar sentiasa bersedia dan berpengetahuan dalam pelbagai aspek,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya pendapatan bagi menampung kehidupan pada masa ini, bapa kepada dua anak itu berkata, gaji yang diterima adalah mencukupi dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Sekiranya saya terlibat dengan aktiviti lain seperti menyampaikan ceramah di masjid atau surau sekitar, ia lebih didorong oleh minat dan tanggungjawab, bukan untuk mengejar keuntungan, hal ini kerana keperluan asas telah pun mencukupi,” ujarnya.
Sementara itu di Negeri Sembilan pula, salah seorang imam usia muda yang bertugas di Masjid Negeri di Seremban, Ahmad Muadz Zulkifle, 28, berkata, dia antara imam berusia di bawah 40 tahun yang diberi peluang untuk bekerjasama dengan imam berpengalaman bagi menarik lebih ramai lagi golongan muda ke masjid.
“Alhamdulilah, bagi saya, sebagai orang yang muda, saya harap agar lebih ramai lagi anak-anak muda menceburi bidang ini dan berani tampil ke hadapan untuk menjadi seorang pemimpin serta menggalas amanah yang besar.
“Malah, bagi saya juga imam-imam yang lebih berpengalaman di masjid dan surau juga bagus untuk membimbing imam-imam muda melaksanakan tugas-tugas dengan lebih tepat,” katanya yag merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian al-Quran dan As-Sunnah) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Kata Ahmad Muadz, dia turut menjayakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pihak Masjid Negeri.
“Antara program yang telah dilakukan ialah program tahsin surah Al-Fatihah di sekolah dan kami juga pernah berjaya menarik anak- anak muda datang ke masjid dengan kaedah memberikan kupon kehadiran solat subuh berjemaah,” ujarnya.

Menurutnya, menerusi kupon tersebut, murid atau pelajar sekolah boleh menukarkan kepada makanan di sekolah masing-masing.
“Bagi saya, masjid ini bukan sekadar tempat ibadah, tetapi medan pembinaan jiwa dan generasi sekiranya dapat diberi ruang, kepercayaan dan sokongan,” katanya.
Namun, di sebalik kerjaya mulia tersebut, tersimpan juga kisah tentang pengorbanan anak muda.
Di Kelantan misalnya, seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai jurutera kira-kira lima tahun lalu dan ia bukan keputusan mudah buat seorang imam muda ketika perlu memikirkan antara minat dan aspek akhirat.
Muhamad Zakri Mat Rahim, 32, ketika itu memilih untuk pulang ke kampung dan menerima elaun lebih rendah sebanyak RM1,000 sebagai Imam Muda masjid.
Muhamad Zakri yang merupakan imam Masjid Mukim Gong Mesira, Semerak, Pasir Puteh berkata, dia sanggup melepaskan kerjaya dalam bidang kejuruteraan demi menyahut panggilan menjadi imam di kampung halamannya.
Menurutnya, pilihan itu dianggap jalan terbaik buatnya untuk meraih keberkatan hidup dan berkhidmat kepada masyarakat.
Muhamad Zakri memberitahu, minat menjadi imam sebenarnya sudah dipupuk sejak di bangku sekolah apabila sering dilantik sebagai imam di asrama.
Katanya, pengalaman tersebut berterusan ketika menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), matrikulasi dan universiti walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama secara formal.
“Saya bukan daripada aliran agama, tetapi minat ke arah itu membuatkan saya belajar sendiri terutama menghafal al-Quran dan bacaan tahlil. Sejak dari tingkatan satu lagi saya sudah jadi imam di asrama,” ujarnya.
Menurutnya, selain tugas memimpin solat dan menguruskan hal ehwal masjid, dia turut berusaha mendekati golongan muda dengan pelbagai pendekatan kreatif.
“Jika mahu tarik anak muda ke masjid, kita kena ikut minat mereka. Kita buat program sukan seperti takraw, dam haji, karom dan aktiviti santai.
“Kita juga buat program khas seperti gunting rambut percuma untuk remaja. Apabila mereka selalu datang, lama-lama mereka akan rasa dekat dengan masjid,” jelasnya.
Sementara itu, di Selangor, usaha ‘meremajakan’ institusi masjid semakin menampakkan hasil apabila golongan muda kini mula mendominasi sebahagian peranan kepimpinan serta aktiviti komuniti di rumah ibadat tersebut.
Imam Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Ahmad Mujahid Muhamad Zan, 30, berkata minatnya terhadap kerjaya imam telah berputik sejak kecil walaupun persepsi umum sering mengaitkan jawatan itu dengan individu lebih berusia.
“Ramai imam kini terdiri daripada golongan muda dan menjadi pengurus masjid dengan bantuan jabatan agama yang menyediakan pelbagai program serta aktiviti,” katanya.
Bekas penuntut Universiti Al Azhar, Mesir itu memaklumkan pelbagai program telah digerakkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menarik lebih ramai anak muda mendekati masjid.
Antara yang dianjurkan termasuk program qiamullail, jogathon, permainan catur Cina serta aktiviti melukis dan mewarna yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Baginya, masjid tidak wajar hanya hidup pada waktu tertentu seperti Ramadan, sebaliknya perlu menjadi pusat aktiviti sepanjang masa.
“Anak muda contohnya boleh datang ke masjid pada bila-bila masa asalkan menjaga adab termasuk cara pemakaian. Persepsi bahawa imam itu hanya mereka yang berusia juga perlu diperbetulkan.
“Penglibatan generasi muda amat penting serta kunci untuk memastikan masjid terus relevan sebagai pusat komuniti yang hidup, progresif dan inklusif,” katanya.














