KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan pembukaan 1,040 kelas prasekolah baharu di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2027 dalam usaha memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak.
KPM memaklumkan, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat peluang mengikuti pendidikan prasekolah berkualiti tanpa mengira lokasi dan latar belakang.
“Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 10,491 kelas prasekolah KPM beroperasi di seluruh negara dengan enrolmen 217,026 murid.
“Usaha ini membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh ekosistem pendidikan awal serta memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat terhadap pendidikan prasekolah,” menurut jawapan bertulis KPM yang disiarkan di portal Parlimen hari ini.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai jumlah murid dan bilik darjah prasekolah KPM serta perancangan menyelaras pengurusan prasekolah.
KPM berkata, usaha memperluaskan pendidikan prasekolah turut disokong oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang mengendalikan 10,536 tadika melibatkan 204,412 kanak-kanak, manakala Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menguruskan 1,781 Tabika Perpaduan dengan enrolmen 34,008 kanak-kanak.
Secara keseluruhan, terdapat 22,808 kelas prasekolah di bawah KPM, Kemas dan JPNIN yang menampung 455,446 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.
Menurut KPM, penambahan kelas baharu dilaksanakan secara berperingkat menerusi projek di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun serta peluasan kelas di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan setempat dan unjuran enrolmen.
Mengenai cadangan meletakkan semua prasekolah di bawah satu kementerian, KPM memaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan melibatkan beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi meneliti cadangan itu secara menyeluruh.
Katanya, kajian tersebut diselaraskan dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk aspek dasar, perundangan, perjawatan, kewangan, prasarana, kurikulum serta pengoperasian sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.- KOSMO! ONLINE.














