ATLANTA – Juara bertahan, Argentina berada dalam situasi panik apabila sebahagian besar pemain belum cergas sepenuhnya menjelang aksi 16 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Mesir di Stadium Atlanta awal pagi esok.
Selepas dipaksa bekerja keras ketika menang 3-2 ke atas Cape Verde pada pusingan 32 terbaik Sabtu lalu, skuad La Albiceleste kini perlu melakukan persiapan bagi membuat perhitungan dengan Mesir.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap jadual perlawanan yang dibuat kerana menganggap anak-anak buahnya diberikan tempoh rehat terlalu singkat.
“Pemain-pemain Argentina berada dalam keadaan letih ketika ini selepas dipaksa bermain hingga ke masa tambahan semasa bertemu Cape Verde. Saya agak hairan kerana kami hanya diberikan waktu rehat tiga hari setengah.
“Ketika kami sangat memerlukan rehat, situasi ini berlaku kepada pasukan. Situasi ini pastinya memberikan kesukaran kepada mana-mana pasukan tetapi kami terpaksa akur dengan jadual yang dibuat,” katanya.
Terdahulu, Argentina terpaksa bermain selama 120 minit ketika berdepan Cape Verde yang menunjukkan semangat juang cukup tinggi sehingga memaksa pemain-pemain La Albiceleste mengerah segala kudrat.
Justeru, timbul kerisauan dalam kem pasukan dari Amerika Selatan itu sama ada mereka mampu mempamerkan aksi terbaik ataupun tidak, sekali gus bakal memberi kelebihan kepada Mesir awal pagi esok.
Sementara itu, kapten Argentina, Lionel Messi menggesa rakan sepasukan supaya memberikan segala-galanya apabila melangkah masuk ke dalam padang, tidak kira bagaimanapun tahap kecergasan mereka nanti.
“Ini adalah Piala Dunia dan kami sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi (penat) seperti sekarang. Kami sudah pun memberikan yang terbaik sebelum ini dan harap ia dapat diteruskan,” ujarnya. – AGENSI















