DALLAS – Mikel Merino muncul wira Sepanyol apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan Portugal 1-0 sekali gus membawa La Roja mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 sebentar tadi.
Jaringan lewat pemain tengah Arsenal itu memusnahkan impian Portugal untuk terus melangkah lebih jauh dalam kejohanan yang disahkan sebagai penampilan terakhir kapten, Cristiano Ronaldo di pentas Piala Dunia.
Pada perlawanan di Stadium Dallas itu, kedua-dua pasukan saling mencipta peluang, namun gagal memecah kebuntuan pada babak pertama.
Mikel Oyarzabal mensia-siakan peluang terbaik Sepanyol apabila merembat ke tepi gawang selepas menerima hantaran kemas Dani Olmo, manakala penjaga gol Portugal, Diogo Costa cemerlang menepis percubaan Alex Baena.
Portugal turut mengancam menerusi Cristiano Ronaldo, namun percubaan paling hampir hadir daripada Nuno Mendes apabila rembatan pertahanan itu sekadar menggegarkan palang gol.
Rentak permainan menjadi lebih berhati-hati pada babak kedua apabila kedua-dua pasukan enggan mengambil risiko.
Tatkala perlawanan seakan-akan menuju ke masa tambahan, kombinasi dua pemain gantian menghadirkan detik penentu apabila Ferran Torres melorongkan bola kepada Merino yang tenang melepaskan rembatan rendah menewaskan Costa pada masa kecederaan.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan perjalanan Portugal, selain menjadi penutup kepada karier Piala Dunia Ronaldo yang mengakhiri kejohanan dengan rekod 11 gol dalam 27 penampilan serta mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia berturut-turut. – AGENSI














