fbpx
Jude Bellingham (No. 10) meraikan jaringan yang dilakukan ke atas Mexico pada aksi sebentar tadi. Foto ihsan FIFA

Piala Dunia 2026: England singkir Mexico dalam aksi ‘epik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEXICO CITY – England mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas menyingkirkan tuan rumah, Mexico 3-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Mexico City sebentar tadi.

Perlawanan yang disifatkan antara aksi terbaik kejohanan itu menyaksikan dua sepakan penalti diberikan serta satu kad merah dilayangkan, namun Three Lions tetap bertahan dengan 10 pemain untuk mengesahkan kemenangan.

England yang dikendalikan oleh Thomas Tuchel bermula cemerlang apabila Jude Bellingham meledak dua gol dalam tempoh hanya dua minit untuk memberikan keselesaan buat pasukan pelawat.

Namun, Mexico terus berjuang apabila merapatkan kedudukan menjadi 1-2 menerusi penyudah Julian Quinones sebelum berakhir saingan babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, England diuji hebat apabila pertahanan muda, Jarell Quansah dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas menerjah pemain lawan, Jesus Gallardo.

Situasi itu tidak menghalang England untuk lebarkan kelebihan apabila kapten, Harry Kane menyempurnakan penalti pada minit ke-60 untuk menjaringkan gol ke-14 peribadinya di pentas Piala Dunia.

Kegembiraan England tidak bertahan lama apabila Mexico kembali merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Raul Jimenez pada minit ke-69 untuk terus memberikan tekanan kepada pelawat.

Tuan rumah menggandakan asakan pada baki perlawanan, namun Pickford mempamerkan aksi cemerlang untuk menafikan beberapa peluang terbaik Mexico, sekali gus memastikan England mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan England bakal membuat perhitungan dengan Norway pada aksi suku akhir, Ahad ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN