KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes Jana Wibawa membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul akan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-11 di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Sebelum ini pihak pendakwaan mengesahkan bahawa Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan ketika menjawab soalan hakim berhubung senarai saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan pada tarikh-tarikh akan datang.
Terdahulu mahkamah menetapkan perbicaraan selanjutnya bersambung pada 6 hingga 17 Julai dan 27 hingga 29 Julai. Selain itu tarikh lain ditetapkan 17 hingga 21 Ogos dan 26 serta 27 Ogos.
Mengikut pertuduhan Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga buah syarikat serta seorang individu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














